55 ekor lembu korban untuk orang asli Kelantan

Zulkifle menyerahkan agihan daging korban kepada wakil orang asli dari Pos Balar.
Zulkifle menyerahkan agihan daging korban kepada wakil orang asli dari Pos Balar.
A
A
A

GUA MUSANG - Kesemua 3,200 ketua isi rumah (KIR) masyarakat orang asli di daerah ini menerima agihan daging lembu korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.

Pengagihan itu dilakukan menerusi Program Ibadat Qurban Perdana Bersama Masyarakat Orang Asli anjuran Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan Qariah Bukit Damansara Kuala Lumpur.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Zulkifle Ab Rahman berkata, pada tahun ini, sebanyak 55 ekor lembu korban diagihkan kepada seluruh masyarakat orang asli di Kelantan.

Menurutnya, program yang mula dilaksanakan secara perdana pada tahun lalu itu adalah salah satu pendekatan kepada masyarakat orang asli merasai sendiri pengalaman mengerjakan ibadat korban.

"Ini adalah usaha untuk mereka belajar dan seterusnya mengerjakan sendiri proses penyembelihan di kawasan masing-masing. Rata-rata daripada mereka tidak pernah menguruskan sendiri penyembelihan kerana tidak tahu prosedur.

"Menerusi program ini, mereka dapat belajar dan mempraktikkannya pada masa akan datang. Namun, ada beberapa kawasan sudah diberi kepercayaan untuk melaksanakan ibadat ini di kawasan mereka seperti di Pos Hendrop, Pos Aring, Pos Sungai Rual dan Pos Tuel," katanya.

Seramai 3,200 ketua isi rumah orang asli menerima agihan daging korban sempena Aidiladha tahun ini.
Seramai 3,200 ketua isi rumah orang asli menerima agihan daging korban sempena Aidiladha tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan 3,200 bungkus daging kepada seluruh KIR orang asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kuala Betis hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Agama Maik, Murtadha Abdullah dan wakil-wakil agensi yang terlibat.

Pada program itu, Maik menyumbang 12 ekor lembu, manakala Qariah Bukit Damansara 30 ekor, Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar (8), Jabatan Kemajuan Orang Asli (3), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (1) dan perseorangan (1).

Sementara itu, belia orang asli Pos Belatim, Saa Alang, 31, berkata, ini adalah pengalaman pertama dia diberi peluang untuk menyembelih sempena ibadat korban.

"Saya mula memeluk Islam pada 2004 dan ini pengalaman pertama sepanjang hidup. Tidak susah untuk melaksanakannya sekiranya kita tahu cara," katanya.

Bagi penduduk Kampung Pos Blau, Rohana Along, 41, dia tidak pernah melepaskan peluang untuk mendapatkan daging korban setiap tahun dengan menghadiri program anjuran Maik.

"Kebanyakan penduduk di kampung saya sudah beragama Islam dan kami menerima daging setiap tahun.

"Cuma, lepas ini, mungkin boleh buat di kampung sendiri, lebih seronok," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!