Kehidupan pasangan warga emas dapat perhatian
YAN - Kehidupan pasangan suami isteri warga emas yang tinggal di sebuah rumah usang di Kampung Bahagia Sungai Dedap mendapat perhatian ramai.
Abdullah Ishak, 79, tinggal berdua bersama isterinya, Khalijah Yaacob, 76, sambil ditemani deruan ombak laut yang terletak beberapa meter dari kawasan rumah mereka.
Menurut Abdullah, ketika ribut, rumah usang miliknya akan terbuai dek angin kencang yang datang menggoncang.
"Jarak rumah hanya beberapa meter dari pantai, cuma dipisahkan ban dan tambahan batu penghadang ombak," katanya.
Perjalanan ke rumah pasangan warga emas ini perlu meredah laluan tanah merah yang becak dan berlubang sejauh hampir satu kilometer.
Kedudukan rumah pasangan ini bagaikan terpisah daripada penduduk yang lain kerana hanya rumah mereka berada di situ.
"Saya tiada pilihan lain dan perlu tinggal di sini mungkin hingga akhir hayat saya kerana tidak mempunyai tanah lain untuk bina rumah," katanya.
Menurut Abdullah, dia hanya menggunakan rakit buatan sendiri untuk menyeberangi sungai bagi berhubung dengan jiran tetangga.
"Dulu ada sebuah titi tapi dah usang, lama-lama titi itu roboh dengan sendiri dan sekarang saya guna rakit buatan sendiri sebagai jalan alternatif untuk berhubung dengan penduduk kampung," katanya.
Abdullah berkata, sungai berkenaan pernah meragut nyawa cucunya beberapa tahun lalu.
"Saya juga hampir hilang penglihatan akibat percikan getah ketika menebas untuk membersihkan muara kuala tempat saya menambat perahu," katanya.
Kini, Abdullah tidak lagi ke laut akibat uzur dengan keadaan matanya yang rabun dan tahap kesihatan yang tidak mengizinkan.
Anak lelaki Abdullah sudah berkahwin dan tinggal berasingan bersama anak dan isterinya.
Pekerjaan anaknya sebagai nelayan turut tidak mencukupi kerana mempunyai tanggungan sendiri.
Sementara itu, Penyelaras Dun Sungai Limau, Zahran Abdullah turut melapangkan masa menziarahi keluarga ini.
Katanya, bantuan dan sumbangan berupa makanan dan keperluan asas telah diberikan kepada pasangan suami isteri berkenaan.
"Di usia emas seperti mereka sudah tidak ada pekerjaan yang sesuai. Insya-ALLAH kita akan memastikan kebajikan mereka terpelihara," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akan Bank Simpanan Nasional 0212529000012057 atas nama Abdullah Ishak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!