Perkauman melampau, binasa segala

A
A
A

KEMELUT di sebalik cadangan memperkenalkan seni khat dan tulisan jawi nampaknya memperlihatkan keretakan dalam Pakatan Harapan (PH). Memang biasa bagi mana-mana gabungan parti politik untuk berkonflik dan bertelingkah. Tetapi selalunya ia tidak berlarutan lama dan akan selesai dengan perundingan. Namun lain benar apa yang berlaku dalam PH kali ini. Kalau pertelingkahan berlaku sekadar hanya mengkritik memang biasalah. Tapi kalau sampai mendesak sehingga ke tahap meminta pemimpin utama meletak jawatan hanya kerana perkara yang dianggap remeh seperti isu khat dan jawi itu barangkali boleh dianggap parah.

Semenjak membentuk kerajaan tahun lalu, ramai yang melihat mengekalkan kestabilan dan permuafakatan antara parti adalah cabaran utama kerajaan PH. Dengan melantik Perdana Menteri daripada parti yang paling sedikit kerusi dalam kalangan empat parti yang membentuk pakatan ini sudah dijangka mengundang masalah. Setakat ini, pengalaman dan kebijaksanaan Tun Dr Mahathir memang telah banyak menyelamatkan PH daripada terus rosak dek kerana pelbagai kontroversi dan masalah.

Dalam tempoh setahun, bertegang urat, bertelingkah dan saling mempertikaikan sesama sendiri nampaknya menjadi kebiasaan dalam kalangan pemimpin PH. Daripada isu ICERD, Statut Rom sehinggalah khat dan jawi nampak tiada tanda untuk ia reda. Lebih merisaukan ia sudah sampai ke tahap bahaya apabila dalam isu khat dan jawi para pemimpin PH sanggup mengeluarkan kata-kata bersifat menghasut dan menghina sesama sendiri sehingga memperkecilkan Perdana Menteri. Malah mungkin telah sampai ke tahap menghasut dan bersifat perkauman.

Pertelingkahan sesama parti politik dalam sesuatu gabungan akibat mempertahankan kepentingan dan hak memang lumrah. Ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu, ini juga berlaku. Tetapi permuafakatan dan formula kongsi kuasa BN tetap utuh sehingga mampu menyelesaikan segala masalah dengan baik.

PermuafakatanBeberapa faktor dikenal pasti menjadikan permuafakatan BN sebagai sebuah pakatan berjaya. Pertama, adanya perkongsian kuasa dengan semua pemimpin kaum secara bertolak ansur dan berkompromi dalam memerintah. Kedua, adanya kuasa veto dan autonomi segmental yang membolehkan setiap kaum untuk menentukan hak dan keperluan masing-masing tanpa menjejaskan hak dan keperluan kaum yang lain. Ketiga, sentiasa bersederhana dalam setiap tindakan berdasarkan prinsip mutual benefit and peaceful co-existence atas kesedaran yang perkauman melampau mana-mana pihak tidak mendatangkan faedah kepada sesiapa.

Benar formula BN itu bersifat kosmetik dan superfisial. Namun itulah juga yang menyumbang kepada kemakmuran dan keamanan yang kita kecapi sehingga hari ini. Kalau diambil kira situasi sekarang dan dibandingkan dengan zaman BN dahulu dalam konteks hubungan kaum, mungkin lebih baik pada zaman BN. Sekurang-kurangnya pemimpin-pemimpin kaum yang bergabung dalam BN tidak sampai ke tahap ultra atau kiasu dalam mempertahankan hak kaum masing-masing. Ianya sekadar ‘ribut dalam cawan’ yang berjaya diselesaikan secara berhemah dan bermuafakat.

Inilah yang tiada dalam PH. Agak pelik kerana parti-parti yang membentuk PH mengaku memperjuangkan Malaysia yang lebih telus, adil dan saksama tanpa prejudis berdasarkan ketertinggian perlembagaan. Namun yang berlaku kini nampaknya jauh daripada yang sepatutnya. Malah kelihatan seperti anti-perlembagaan. Ke mana perginya janji dan harapan yang sebelum ini giat dan gigih diperjuangkan sehingga mendapat mandat rakyat?

Fahamilah realiti dan keadaan semasa negara. Dalam konteks Malaysia yang bermasyarakat majmuk, konsep kesamarataan tidak boleh dipakai dalam setiap aspek, apatah lagi kalau ianya melibatkan kepentingan dan keperluan kelompok tertentu. Dalam hal ini, konsep kesaksamaan harus diguna pakai kerana ia diberi mengikut keperluan yang berbeza, berbanding kesamarataan yang diberikan sama rata tanpa mengira keperluan. Apatah lagi kalau ia menajamkan lagi perasaan perkauman.

Artikel Berkaitan:

Sebab itu tidak perlu terlalu ‘kiasu’ atau cauvinis sampai semua perkara dilihat dari sudut perkauman yang sempit. Kita tidak rugi kalau berkompromi dan berbincang. Benar politik di Malaysia ini sifatnya sentiasa tegang dan stabil. Tapi kalau berterusan mempersoalkan, curiga dan hilang rasa hormat-menghormati, lama-lama yang tegang mungkin boleh berparangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!