Perpaduan rakyat belum utuh

Teo Kok Seong
Teo Kok Seong
A
A
A

SHAH ALAM - Perpaduan antara rakyat berbilang kaum di negara ini didakwa tidak pernah utuh sejak negara mencapai kemerdekaan.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, perpaduan yang digembar-gemburkan itu hanya wujud pada tahap sosial.

“Maknanya, pergaulan sesama kaum terhad kepada kegiatan yang rasmi sahaja. Contohnya, pada sambutan Hari Kebangsaan, kita selitkan persembahan Cina, Melayu, India serta Sabah dan Sarawak.

“Kita cuba pamerkan kepada kita sendiri dan kepada pelancong bahawa itulah perpaduan. Maknanya, perpaduan diada-adakan untuk tujuan rasmi sahaja dan secara peribadinya jarang kita lihat ada persahabatan antara kaum yang begitu tulen dan muhibah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, lebih parah apabila wujud defisit kepercayaan khususnya melibatkan tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India.

“Defisit kepercayaan ini adalah sesuatu yang wujud tetapi tidak banyak diperkatakan kerana sensitif. Tetapi ia satu hakikat bahawa orang Cina tak percaya orang Melayu, orang Melayu mencurigai orang India dan begitulah sebaliknya.

“Contoh terbaru kita dapat lihat dalam isu tulisan jawi dan khat. Bantahan terhadap pelaksanaan jawi dan khat menjadikannya pertentangan kepentingan Melayu lawan kepentingan bukan Melayu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Ditanya mengenai faktor perpaduan kaum semakin parah, Kok Seong berkata, ia mungkin berpunca daripada kesilapan membiarkan setiap kaum bergerak dengan cara masing-masing sehingga gagal membentuk komuniti nasional.

“Ketika kita merdeka dan mahu bentuk negara bangsa, kita pilih integrasi. Maknanya Cina boleh terus hidup sebagai Cina, ada sekolah Cina dan sebagainya, begitu juga dengan India dan Melayu.

“Ketika itu, kita yakin apabila berpisah-pisah dari segi kaum, kita boleh menyatupadukan mereka dan semua boleh bergerak sebagai komuniti nasional. Tetapi malangnya formula ini tak menjadi dan kita masih gagal bergerak sebagai komuniti nasional sebaliknya kita bergerak sebagai komuniti bangsa masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, beberapa isu yang mengeruhkan perpaduan kebelakangan wajar dijadikan pengajaran untuk rakyat membina semula komuniti nasional.

“Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku sekarang iaitu baru kita sedar begitu rapuhnya perpaduan kita. Kalau kita terus begini, negara boleh hancur suatu hari nanti sebab kita tak berkongsi destinasi yang sama,” katanya.

Menurut Kok Seong, semua pihak juga harus mengakui bahawa perpaduan yang ibarat retak menanti belah itu merupakan satu masalah besar.

“Rata-rata dalam ucapan pemimpin pun sedap bunyinya, mereka kata kita bersatu padu sedangkan mereka tak bercakap benar. Kita kena bercakap benar walaupun pahit kerana itu realiti.

“Kalau kita selalu sembunyikan perkara ini, ia akan jadi bom masa yang meletup suatu hari nanti. Sebab itu kita harus duduk semeja dan cari jalan tengah untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!