Rempuh 5 pemotong rumput: Pemandu Malaysia tiada lesen sah
SONGKHLA - Pemandu Malaysia yang terlibat dalam kemalangan jalan raya dan membabitkan lima pemotong rumput terkorban di Songkhla, Selatan Thailand didapati memandu tanpa lesen yang sah.
Wanita berusia 30 tahun itu didakwa memandu dengan cuai mengakibatkan kematian dan kerosakan harta awam selain berdepan hukuman penjara 10 tahun dan denda tidak lebih 20,000 baht (RM2,721), jika sabit kesalahan.
Polis Thai bersetuju mengurangkan ikat jamin daripada 500,000 baht (RM68,000) kepada 200,000 baht (RM27,000).
Bagaimanapun, wanita itu dilarang meninggalkan negara tersebut sehingga kesnya selesai selain perlu membayar sagu hati wang tunai 50,000 baht (RM6,764) masing-masing kepada keluarga mangsa berjumlah 250,000 baht (RM33,823).
Beliau juga dikenakan denda 200 baht (RM28) kerana memandu tanpa lesen sah.
Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, kedutaan akan memantau kes itu dari dekat.
"Kedutaan akan memberi bantuan sewajarnya yang diperlukan,” katanya.
Semalam, wanita itu dan dua rakannya sedang dalam perjalanan dari Krabi ke Hatyai, Songkhla sebelum kereta yang mereka naiki melanggar lima pemotong rumput yang sedang berehat di tepi Jalan Asia, Daerah Rattaphum, Songkhla. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Lima pemotong rumput maut dirempuh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!