'Tak perlu idea mengarut, persoal peranan tentera'
KUALA LUMPUR - Idea mengarut dan cadangan tidak berasas mengenai peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak perlu dibangkitkan.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebaliknya, apa yang diperlukan adalah dasar bijak serta sokongan masyarakat untuk mengekalkan dan meningkatkan profesionalisme ATM, dalam masa sama memastikan kebajikan anggota tentera.
Mengulas perkara itu, Nik Nazmi berkata, cadangan untuk menggunakan khidmat tentera bagi tujuan politik atau tujuan lain tidak boleh diterima dan perlu ditolak dengan tegas.
Menurutnya, peranan utama ATM mempertahankan tanah air dan rakyat juga tidak patut diperlekeh oleh mana-mana pihak dan individu.
“Saya bersetuju dengan kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong mengenai peranan ATM. Seperti yang selalu ditegaskan, tugas utama angkatan tentera adalah untuk mempertahankan tanah air dan warganya.
“Dakwaan mengatakan anggota tentera tidak melakukan apa-apa kecuali makan dan tidur bukan sahaja memperlekehkan peranan tentera, namun ia juga tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, seorang ahli perniagaan, Koon Yew Yin dalam laman blog kendaliannya menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah sewajarnya mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam disifatkan beliau terlalu besar.
Menerusi tulisan tersebut, Yew Yin meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat pekerja tidak diperlukan.
Antara yang dibangkitkan ialah peranan ATM dan menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja.
Memetik laporan Air Times, Yew Yin mendakwa majoriti anggota tentera tidak pernah berperang melainkan menembak papan sasaran dan sepatutnya mereka digunakan untuk mengganti pekerja asing sebagai buruh ladang.
Tulisan Yew Yin tersebut menjadi tular dalam media sosial dan membangkitkan kemarahan banyak pihak.
Bagaimanapun, selepas mendapat kecaman ramai, Yew Yin semalam menarik balik kenyataannya terhadap ATM dan meminta maaf kepada anggota tentera yang sudah bersara dan sedang berkhidmat.
ARTIKEL BERKAITAN: Hina tentera: GMPN desak Yew Yin disiasat
Yew Yin tarik balik kenyataan, mohon maaf kepada tentera
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!