Penerbangan pulang pertama jemaah haji Isnin ini
MAKKAH - Penerbangan pulang pertama jemaah haji Malaysia dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2.50 petang waktu Malaysia pada Isnin ini (19 Ogos), kata Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman.
Beliau berkata penerbangan itu dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah di sini pada jam 1.10 pagi waktu tempatan atau 6.10 pagi waktu Malaysia.
Katanya penerbangan balik terakhir jemaah haji Malaysia adalah pada jam 1 tengah hari waktu tempatan atau 6 petang waktu Malaysia pada 12 September ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Abdul Aziz di Madinah.
"Penerbangan terakhir itu dijangka tiba di KLIA pada hari Jumaat 13
September pada jam 3 pagi (waktu Malaysia)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) Makkah, Abraj Janadriyah di sini hari ini.
Penerbangan pulang pertama itu akan membawa seramai 483 jemaah haji Malaysia dan sebanyak 69 penerbangan akan terlibat dalam operasi membawa pulang jemaah itu.
Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.
Syed Saleh berkata jemaah haji yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz melibatkan penerbangan antara 18 Julai hingga 5 Ogos, akan dibawa ke Madinah bermula Jumaat ini (23 Ogos) selepas solat Jumaat.
Beliau berkata semua jemaah haji Malaysia selamat pulang ke Makkah dari Mina pada jam 10.50 pagi semalam waktu tempatan atau 3.50 petang semalam waktu Malaysia setelah menyelesaikan ibadah melontar jamrah.
"Alhamdulillah jemaah haji telah selesaikan tunaikan tawaf dan sai’ haji. Bagi operasi haji untuk tahun ini, semuanya berjalan dengan lancar dan secara keseluruhan saya berpuas hati dengan perjalanan musim haji tahun ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!