Tulisan jawi: Khaled tempelak keputusan terbaharu Kabinet

MOHAMED KHALED
MOHAMED KHALED
A
A
A

JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menempelak keputusan terbaharu Kabinet mengenai pembelajaran tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4.

Menurutnya, keputusan yang tertakluk kepada persetujuan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) itu menunjukkan siapa sebenarnya menguasai Pakatan Harapan (PH).

"Ternyata DAP adalah penguasa sebenar Kerajaan PH. Kabinet Tun Mahathir hanya ‘rubber stamp’ kepada sutradara Dong Jiao Zong yang dilakonlayarkan oleh DAP.

"Negarawan besar seperti Tun Mahathir pun tertewas dengan desakan tidak munasabah DAP," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, keputusan Kabinet itu bukan satu konsensus kerana konsensus tidak akan menyebabkan terhapusnya jawi dalam sistem persekolahan vernakular.

"Konsensus tidak akan mematikan semangat jawi dan pengajarannya iaitu meraikan kemajmukan Malaysia. Semua orang tahu bahawa tiada PIBG sekolah vernakular akan membenarkan pengajaran jawi dilaksanakan.

"Demikianlah tragedinya di sebalik kedudukan, martabat dan status istimewa bahasa Melayu yang dijamin dalam Perlembagaan. Orang Melayu tidak akan melupakan pengkhianatan luar biasa ini," katanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu turut mempersoalkan suara beberapa pemimpin Melayu di dalam PH yang selama ini dianggap sebagai pejuang bahasa Melayu.

Artikel Berkaitan:

"Ingatlah, apa yang kamu persetujui kelmarin akan menghantui kamu seumur masa, namun bangsa dan tanah air ini tidak akan diliputi mega mendung selamanya. Masakan sang bulan pura berduka sedangkan langit penuh berbintang.

"Tragedi semalam akan menjadi lonjakan kepada kami untuk mengembalikan pengaruh, kuasa dan kepentingan Melayu dalam nadi dan nafas tanah air ini, Insya-Allah dan akan kami lakukan tanpa meluka dan menafikan hak serta kepentingan bangsa lain pastinya," katanya.

Semalam, media melaporkan Kabinet mengekalkan keputusan meneruskan pembelajaran tulisan jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu kepada murid Tahun 4 di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan mulai 2020.

Bagaimanapun, ia perlu mendapat persetujuan PIBG serta ibu bapa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!