Pas bantah cadangan kuat kuasa ISA
KUANTAN - Pas Pahang menentang cadangan penguatkuasaan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) di negara ini.
Timbalan Pesuruhjaya Pas, Andansura Rabu berkata, akta tersebut disifatkan sebagai undang-undang ‘rimba’ yang tidak diberikan hak pembelaan kepada individu atau pihak yang telah ditangkap.
“Kalau ada usaha mahu laksanakan ISA, saya lihat ia adalah langkah belakang sedangkan sebelum ini pemimpin dari kalangan kerajaan dengan lantang menentang ISA.
“Malah, akta itu adalah undang-undang yang tidak diberikan hak untuk individu membela diri dan tidak perlulah wujud dengan perkara (akta) yang tidak betul,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Pengerusi Penaja dan Pengasas Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali mencadangkan agar ISA dikuatkuasakan semula bagi membendung isu ketegangan kaum yang dilihat menjejaskan keharmonian rakyat dan keselamatan negara.
Katanya, punca utama ketegangan kaum selain penghinaan terhadap Islam dan agama lain yang berlaku pada hari ini berpunca daripada kesilapan kerajaan memansuhkan ISA.
Justeru, beliau menyokong kerajaan memperkenalkan semula ISA kerana akta itu bagi menjaga ketenteraman negara dan hubungan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Mengulas lanjut mengenai cadangan itu, Andansura berkata, Pas tetap dengan pendirian untuk tidak menyokong kewujudan ISA.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, ISA tidak sepatutnya diwujudkan semula kerana akta ini bebas menangkap individu tertentu.
Jelasnya, akta ini juga tidak membenarkan individu yang ditangkap membela diri sedangkan mereka berhak untuk mendapatkan keadilan.
“Jadi, saya berpendapat biarkan seseorang yang dikatakan bersalah diputuskan oleh pihak mahkamah, ini lebih daripada mewujudkan akta itu semula,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kembalikan ISA tangani provokasi perkauman: Ibrahim Ali
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!