Jenayah siber di Pulau Pinang membimbangkan
GEORGETOWN - Trend jenayah siber di Pulau Pinang disifatkan membimbangkan apabila 731 kes dilaporkan membabitkan kerugian kira-kira RM20.6 juta sejak Januari hingga Julai tahun ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, lebih membimbangkan, daripada jumlah itu, dianggarkan sekurang-kurangnya tiga kes jenayah tersebut dilaporkan berlaku setiap hari sepanjang tempoh terbabit.
Menurutnya, bagi tahun lalu, jumlah kes meningkat sebanyak 6.6 peratus berbanding 965 kes pada 2017.
"Statistik tahun ini iaitu tempoh tujuh bulan menunjukkan peningkatan mendadak berbanding dua tahun sebelum ini. Pada 2017, sebanyak 965 kes dicatatkan dengan kerugian RM19.3 juta manakala 1,031 kes dengan kerugian RM29.7 juta pada tahun lalu.
"Jika dibandingkan antara tahun 2017 dan 2018, jumlah kerugian meningkat sebanyak 53.5 peratus iaitu RM10.3 juta manakala jumlah kes pula bertambah sebanyak 66 kes atau 6.6 peratus," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang tadi.
Beliau menambah, jenayah siber yang dicatatkan meliputi pelbagai modus operandi antaranya Love Scam dan Macau Scam.
"Jenayah siber terkini yang paling popular dan melibatkan ramai mangsa adalah Macau Scam; penipuan cinta siber (Love Scam), penipuan e-Kewangan dan belian online. Walaupun sudah berkali kita ingatkan, masih ada yang tertipu dengan sindiket yang menjalankan kegiatan jenayah siber ini.
"Harus diingatkan, sekiranya urusan melibatkan pihak berkuasa atau jabatan kerajaan seperti polis, mahkamah, kastam, tidak akan ada urusan dibuat melalui panggilan.
"Semuanya akan berurusan secara bersemuka atau surat rasmi. Jika ada yang menerima panggilan telefon atau sistem pesanan ringkas, 99.9 peratus adalah palsu," katanya.
Beliau berkata, orang ramai juga diminta agar tidak tertipu dengan panggilan kononnya mereka disiasat pihak berkuasa atas kesalahan tertentu sehingga akaun bank dibekukan dan perlu memindahkan wang ke akaun lain.
"Anda tidak akan tahu anda sedang disiasat atau suspek dalam sesuatu kes sehingga polis tiba di rumah anda. Oleh itu, jika ada panggilan kononnya dari polis atau bank menyatakan anda terlibat dengan jenayah pemindahan wang haram, jangan percaya.
"Kebiasaannya, peminjam dari mana-mana agensi kewangan hanya menerima mesej untuk mereka membayar balik pinjaman sahaja, bukannya diberi nombor akaun lain dan perlu membayarnya menerusi online," katanya.
Terdahulu, Narenasagaran mengumumkan penganjuran Seminar Keselamatan Antarabangsa Kelima yang akan diadakan pada 24 dan 25 September ini di salah sebuah hotel di sini.
Katanya, seminar itu membariskan sembilan ahli panel yang merupakan pakar dalam jenayah siber termasuk Presiden Persatuan Fraud Bertauliah Malaysia (ACFE), Datuk Seri Akhbar Satar dan Pengerusi Eksekutif Internet Fraud Watchdog Ltd (IFW), Ken Gamble.
Pendaftaran serta maklumat lanjut mengenai seminar yang memfokuskan cabaran dan kesan jenayah siber tersebut boleh didapati di laman web www.mcpfpg.org/iss2019 dan semua pihak dijemput menyertainya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!