Isteri pemilik restoran daun pisang terkenal Pulau Pinang maut
PARIT BUNTAR - Isteri kepada pemilik restoran daun pisang terkenal di Pulau Pinang, Sri Ananda Bahwan maut selepas kereta yang dinaiki bersama keluarganya terbabas di KM200.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, K Puvaneswary, 47, disahkan maut di tempat kejadian manakala suami dan dua anak lelakinya masing-masing berusia 51, 21 dan 17 tahun dilaporkan cedera.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta mewah jenis Range Rover yang dinaiki empat mangsa.
"Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila mereka dari arah Taiping menuju ke Pulau Pinang dan apabila sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba kenderaan tersebut hilang kawalan.
"Keadaan itu menyebabkan kereta mangsa terbabas ke bahu jalan lalu melanggar sebatang pokok. Pelanggaran itu menyebabkan mangsa yang merupakan penumpang belakang maut akibat kecederaan parah di kepala," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar manakala tiga ahli keluaralganya yang cedera telah mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.
"Kemalangan itu berpunca daripada kegagalan mengawal kenderaan hingga mengakibatkan kemalangan.
"Kenderaan terlibat dibawa untuk pemeriksaan Puspakom dan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!