Lang Merah bawa kes Akhyar ke mahkamah pula
PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) akan membawa kes Akhyar Rashid ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas tidak berpuas hati dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menolak rayuannya mengenai pampasan pemain tersebut.
Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, persatuan tersebut akan menggunakan saluran yang ada untuk mendapatkan haknya.
Menurutnya, KFA akan menggunakan pihak luar untuk menilai kembali pampasan selepas melihat keputusan yang diputuskan FAM disifatkan tidak adil kepada persatuan tersebut.
"Kami akan meneruskan perkara ini ke peringkat seterusnya selepas merasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan FAM yang menolak rayuan kami.
"KFA masih lagi majikan kepada Akhyar dan akan membawa perkara ini ke peringkat CAS untuk tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.
Terdahulu, Jawatankuasa Rayuan FAM dalam mesyuarat kali ketiga dipengerusikan Datuk Sri Mohammad Mokhtar Mohamad Sharif berkata, rayuan KFA ditolak dan keputusan Jawatankuasa Status FAM tersebut adalah dikekalkan.
Pada 3 dan 4 Disember lalu, penamatan kontrak Akhyar Rashid melalui tebus kontrak sudah diterima sepenuhnya dan beliau dibenarkan untuk menebus kontraknya bersama KFA dengan bayaran sebanyak RM210,000.
"Untuk makluman, jumlah nilai pampasan yang ditetapkan ini bukanlah diletak sewenang-wenangnya oleh FAM tetapi ia adalah berdasarkan artikel yang terkandung dalam Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FAM.
"Jumlah RM75,000 pula adalah dibuat berdasarkan kos latihan, kategori kelab yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) iaitu mengikut Artikel 8: Pengiraan Pampasan Latihan Peraturan Status & Perpindahan Pemain FAM," katanya.
Mohd Asmirul berkata, RM75,000 itu adalah nilai pampasan latihan yang menjadi wang tambahan untuk diperolehi KFA dengan mengambil kira nilai-nilai murni bola sepak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!