'Berikan nama yang baik untuk anak-anak kita'

A
A
A

NAMA merupakan alamat atau tanda pengenalan bagi seseorang. Oleh itu, pemberian nama kepada anak yang dilahirkan merupakan kewajipan ibu bapa.

Dengan wujudnya nama, maka seseorang itu boleh dikenali dan begitu juga nasabnya diketahui dengan mudah. Bayangkan jika nama tidak wujud pada seseorang, pelbagai urusan duniawi menjadi sukar dan mustahil seseorang itu dapat hidup dalam keadaan normal.

Menurut majoriti antaranya para ulama Mazhab Syafie menyatakan bahawa disunatkan memberi nama kepada anak pada hari ketujuh kelahirannya.

Hal itu berdasarkan hadis Rasulullah SAW: "Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW memerintahkan untuk memberikan nama kepada bayi yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya." (Riwayat al-Tirmidzi)

Selain itu, ia berhujahkan bahawa Nabi Muhammad SAW menamakan dan mengakikahkan dua orang cucundanya, Hasan dan Husain pada hari ketujuh kelahiran mereka.

Namun begitu, Imam Nawawi dalam karangannya Raudah al-Tolibin menyatakan bahawa diharuskan seseorang anak itu diberi nama sebelum mencapai tujuh hari kelahiran.

Keharusan itu berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki pada satu malam, maka aku menamakannya dengan nama bapaku (datukku), Ibrahim." (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis itu, ia menunjukkan bahawa baginda menamakan anak lelakinya Ibrahim sejurus kelahirannya.

Artikel Berkaitan:

Pemberian nama anak sangat dititik beratkan oleh Islam hinggakan Rasulullah SAW menggesa supaya menentukan nama yang terbaik.

Ia sepertimana hadis Rasulullah SAW: "Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, oleh itu perelokkanlah nama kamu." (Riwayat Abu Daud)

Nama yang baik

Menurut Imam Nawawi lagi, disunatkan agar diberi nama yang baik untuk bayi yang dilahirkan. Adapun memberikan nama yang kurang baik hukumnya makruh di sisi Mazhab Syafie.

Namun begitu, memberi nama yang berunsur syirik hukumnya haram di sisi syarak seperti nama-nama tuhan dan dewa agama selain Islam.

Hal itu berdasarkan Rasulullah SAW menukar nama Abdul Rahman bin Auf yang pada asalnya bernama Abdul Kaabah (Hamba kepada Kaabah).

Terdapat riwayat yang lain dalam Sahih al-Bukhari bahawa Rasulullah SAW menukar nama sahabat yang kurang elok iaitu Hazn yang bermakna sedih. Lalu baginda menukar namanya kepada Sahl yang bermaksud mudah. Namun, lelaki itu enggan menukar namanya seperti yang dicadangkan oleh baginda kerana mahu kekal dangan nama yang diberikan oleh bapanya.

Nama disukai ALLAH SWT, Rasulullah SAW

Nama yang paling disukai oleh ALLAH dan Rasulullah SAW ialah nama Abdullah dan Abdul Rahman atau dinisbahkan dengan mana-mana nama ALLAH SWT yang tercatat dalam Asmaul Husna.

Ia berdasarkan hadis yang disabdakan oleh Baginda SAW: "Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh ALLAH dari nama-nama kamu ialah Abdullah dan Abdurrahman." (Riwayat Muslim)

Selain itu, Rasulullah SAW menggemari nama-nama para nabi dan rasul sepertimana baginda menamakan anak lelakinya dengan nama Nabi ALLAH Ibrahim AS dan menamakan anak kepada Abdullah bin Salam RA dengan nama Nabi ALLAH Yusuf AS.

Selain itu, disabitkan dalam riwayat seorang sahabat, Zubair bin al-Awwam RA menamakan anak-anaknya dengan nama para syuhada. Begitu juga Talhah bin Ubaidillah RA menamakan anak-anaknya dengan nama para nabi dan rasul.

Juga sahih daripada cucunda Rasulullah SAW iaitu Hasan dan Husain RA menamakan anak-anak lelaki mereka dengan nama para sahabat nabi yang agung antaranya Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Abdullah dan Abdul Rahman.

Kesimpulannya, tanggungjawab sebagai seorang bapa atau ibu memberi nama yang baik kepada anak-anak mereka kerana ia merupakan sunah Rasulullah SAW yang sangat dituntut.

Lebih-lebih lagi nama yang diambil dalam kalangan para solihin. Tidak digalakkan memberi nama yang kurang elok kepada anak, antaranya nama yang tidak jelas atau samar maknanya seperti nama yang tidak bertepatan dengan kaedah dan semantik bahasa Arab.

Perlu diingat, tidak digalakkan memberi nama yang berunsur penyamaan kepada golongan bukan Islam kerana dikuatiri termasuk dalam salah laku menyerupai amalan kuffar, apatah lagi nama-nama yang jelas bertentangan dengan akidah.

Selain dari faktor hukum syarak, nama yang tidak baik atau kurang elok akan memberi impak negatif terhadap kehidupan sosial si anak apabila dewasa nanti. Contohnya, akan diejek oleh rakan-rakan sekolah dan dirasakan pelik oleh masyarakat sekeliling, bahkan sebahagiannya menjadikan ia sebagai bahan lawak jenaka.

***Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed merupakan pendakwah bebas dan penulis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!