SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Polis sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan dalam kes serangan ke atas anggota polis dan rusuhan semasa acara keagamaan di Kuala Selangor, 4 Ogos lalu. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki berkenaan V Wilbert, 41, dan alamat terakhirnya adalah di Nombor 10 Jalan Satu Taman Sentosa Batang Berjuntai, Selangor. "Seorang lagi, S Sureskumar, 39, dan alamat terakhirnya adalah di Nombor 12A Artisan QRTS Tennamaram Palm Oil Mill Batang berjuntai, Selangor. ARTIKEL BERKAITAN: Nafi berlaku di Kuil Kaliamma Polis cedera, orang awam parah insiden rusuhan di kuil "Kedua-dua individu ini dipercayai dapat membantu polis melengkapkan siasatan kes rusuhan yang telah mencederakan seorang polis dan seorang orang awam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini. Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya di mana-mana balai polis berhampiran. Huzir berkata, dalam insiden 4 Ogos lalu satu perarakan keagamaan dari sebuah kuil di Kuala Selangor dicemari dengan pergaduhan beberapa kumpulan gangster. "Bermula dengan isu perebutan tapak khemah kemudian berlaku pertengkaran dan rusuhan yang melibatkan seramai 30 individu," katanya. Menurutnya, ketika insiden polis beruniform cuba meleraikan rusuhan namun turut diserang. "Selain senjata tajam digunakan, polis juga yakin mereka turut melepaskan dua das tembakan. Susulan itu, 30 orang berusia 18 hingga 54 tahun ditahan bagi membantu siasatan," katanya.