PKR Terengganu dakwa ada pihak berniat tak baik
KUALA TERENGGANU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu menyifatkan penyebaran surat yang telah dipinda pihak tertentu berkait lawatan rasmi presiden parti itu ke Terengganu sebagai berniat tidak baik.
Pengerusinya, Azan Ismail berkata, surat kepada Malaysia Airport Sdn Bhd itu memang dibuat pihaknya, namun mendakwa beberapa perkara dalam surat itu telah dipinda, sebelum disebarkan.
Menurutnya, surat makluman itu dikeluarkan PKR Terengganu dan bukannya daripada pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai makluman kedatangan Anwar ke Terengganu pada 24 Ogos ini dan bagi meminta kerjasama untuk tujuan keselamatan di lapangan terbang.
"Tiada salah untuk anggota parti untuk meraikan pemimpin, sudah semestinya ahli dan pimpinan di peringkat negeri nak buat persiapan yang terbaik. Kita sebagai ahli parti nak meraikan pemimpin, rasanya tiada masalah.
"Soalnya, mengapa ada yang meminda dan berniat tidak baik sehingga nampak keterlaluan. Jika pihak lapangan terbang tidak bersetuju dan tidak membenarkan, kita tiada masalah. Itu terpulang kepada mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sejak semalam, surat berkaitan lawatan rasmi Anwar ke Terengganu pada 24 Ogos ini tular di media sosial, namun mendapat kritikan banyak pihak kerana merujuk Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan, selain seolah-olah meminta layanan istimewa.
Mengulas lanjut Azan berkata, surat yang dihantar pihaknya ringkas, sekadar makluman dan ia merupakan prosedur biasa.
"Kita ahli parti peringkat negeri juga maklumkan kepada pihak polis untuk tujuan keselamatan, begitu juga untuk keselamatan trafik, itu perkara biasa. Kita juga maklum kepada pihak lapangan terbang, kalau tidak nanti kata tiada makluman kepada mereka pula.
"Kita tidak minta apa-apa keistimewaan, cuma nak maklumkan kedatangan presiden PKR, ia prosedur biasa tapi kita boleh lihat surat itu memang dipinda dengan niat untuk menyebarkan kepada umum," katanya.
Pada masa sama, Azan mempersoalkan bagaimana surat yang sepatutnya untuk kegunaan dalaman disebarkan kepada umum.
"Kenapa surat rasmi yang bersifat sulit disebarkan? Itu adalah disiplin di tempat kerja. Mereka yang bertindak menyebarkan surat dalaman ini patut dikenakan tindakan kerana dengan niat tidak baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!