Isu Zakir: Dewan Ulamak Pas kecam sikap menteri
MARANG - Dewan Ulama Pas Pusat mengecam sikap melampau segelintir menteri Kabinet yang berterusan mahu mengusir pendakwah bebas Dr Zakir Naik dari negara ini.
Ketua Penerangannya, Mohd Nor Hamzah sehubungan itu mengingatkan menteri terbabit berhubung jawapan balas Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada 9 Julai 2019 di Dewan Rakyat.
Menurutnya, berdasarkan jawapan KDN itu, Dr Zakir masuk ke Malaysia mengikut prosedur biasa dan mematuhi undang-undang negara.
"Oleh itu, tiada sebab munasabah untuk mengusir Dr Zakir Naik dari negara ini. Adakah kerana ucapan beliau baru-baru ini yang dipetik di luar konteks dan dieksploitasi oleh media murahan?
"Jika begitu, bagaimana pula dengan ucapan (Menteri Sumber Manusia), M Kula Segaran yang menghina orang Melayu sebagai pendatang?
"Bagaimana pula dengan penghinaan taikun (ahli peniagaan) pro PH (Pakatan Harapan), Koon Yew Yin yang menghina jalur gemilang dan angkatan tentera negara Malaysia," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong itu menyifatkan, sikap ‘double standard’ segelintir menteri terbabit hanya kerana didorong oleh rasisme dan kebencian terhadap personaliti Dr Zakir.
ARTIKEL BERKAITAN: Zakir Naik disiasat polis
Katanya, Dr Zakir berhujah dengan ilmu di pentas terbuka mengenai perbandingan agama dan beliau tidak memaksa masyarakat bukan Islam untuk memeluk Islam termasuk menghina anutan mereka.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa menteri-menteri terbabit tidak mengambil kesempatan berdialog dengan Dr Zakir sewaktu penceramah bebas itu mengadakan program di Kelantan baru-baru ini.
"Dewan Ulama Pas juga kesal dengan sikap Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Mujahid Yusof) yang gagal memberikan kefahaman kepada sikap melampau segelintir menteri ini termasuk dalam isu tulisan jawi baru-baru ini.
"YB (Yang Berhormat) Menteri Agama tidak memainkan peranan yang efektif, sebaliknya menikus mendiamkan diri di saat Islam diperlecehkan orang lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!