Lelaki warga China cedera dalam cubaan samun
KEMAMAN - Seorang lelaki warga China yang sedang berjoging cedera dalam cubaan samun oleh dua lelaki bermotosikal dalam kejadian di Kijal, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 pagi itu, mangsa berusia 37 tahun mengalami kecederaan di lengan tangan kanan dan muka.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, ketika kejadian, mangsa berjoging berseorangan di jalan berhampiran kawasan rumahnya sebelum didatangi dua suspek bermotosikal.
"Penunggang motosikal itu bertindak memukul mangsa menggunakan topi keledar dan pada masa sama, pemboncengnya pula memukul mangsa menggunakan tangan lalu cuba merampas telefon bimbit milik mangsa tapi gagal.
"Dua suspek itu kemudian melarikan diri, manakala mangsa cedera di lengan tangan kanan dan calar di muka," katanya.
Berikutan itu katanya, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman sebelum membuat laporan di Balai Polis Kijal pada hari sama.
Katanya, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan samun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!