Banjir kilat: Kenderaan terperangkap di USJ, Shah Alam

Antara kenderaan yang terperangkap dalam banjir kilat di USJ petang tadi.
Antara kenderaan yang terperangkap dalam banjir kilat di USJ petang tadi.
A
A
A

SUBANG JAYA - Ratusan kenderaan terperangkap akibat banjir kilat di sekitar USJ dan Shah Alam petang tadi.

Hujan lebat hampir sejam di USJ bermula pada jam 3.40 petang mengakibatkan beberapa laluan utama dinaiki air lebih satu meter.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, turut ditenggelami air Persiaran Kewajipan berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Menurutnya, takungan air yang naik mendadak menyebabkan beberapa kenderaan dihanyutkan arus akibat banjir kilat.

“Sistem perparitan dipercayai tidak dapat menampung jumlah hujan yang banyak di lokasi kejadian.

“Keadaan ini menyebabkan beberapa buah kereta terapung dan dihanyutkan air disebabkan arus terjahan oleh kenderaan lain yang melalui laluan yang sama,” katanya.

No Image Caption

Beliau berkata, bertindak atas keadaan bencana yang berlaku, Skuad Trafik IPD Subang Jaya dengan bantuan Unit Polis Peronda (MPV) melaksanakan kawalan lalu lintas di kawasan terlibat.

Artikel Berkaitan:

“Kawalan dilakukan dari arah Persiaran Kewajipan menuju ke USJ, Persiaran Mulia USJ8 dan Persiaran Tujuan USJ11. Pengguna sudah boleh melalui jalan yang terlibat selepas air surut dalam tempoh sejam, keadaan lalu lintas lintas kini bergerak lancar. Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.

“Ketika ini hanya terdapat beberapa buah kenderaan rosak masih tersadai di tepi jalan berikutan pemilik masih dalam proses menghubungi mekanik masing-masing,” katanya.

Sementara itu di Shah Alam, turut dilapor banjir kilat di Persiaran Kuala Selangor, Shah Alam berdepan padang Proton.

Dalam rakaman video berdurasi sembilan saat itu, beberapa kenderaan dirakam bergerak perlahan melalui laluan jalan raya yang ditakungi air.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan insiden beberapa kenderaan yang hanyut dalam takungan air di laluan jalan berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dirakam orang awam dan tular di media sosial petang tadi.

Dalam video berdurasi 22 saat itu, tiga kereta kelihatan melalui laluan ditakungi air tersebut sebelum dua daripadanya berpusing.

Banjir kilat di USJ surut sepenuhnya kira-kira jam 5.10 petang tadi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!