1,980 pekebun kecil Perak miliki MSPO
KAMPAR - Seramai 1,980 pekebun kecil di Perak memiliki Persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) melibatkan 5,225 hektar tanaman di negeri ini, sehingga Jun tahun ini.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, daripada jumlah berkenaan hanya 58 pekebun kecil kalangan orang asli di negeri ini melibatkan 142 hektar tanaman sudah memiliki MSPO bagi tempoh masa sama.
“Jumlah 1,980 peserta ini mewakili peratusan sebanyak 40 peratus peserta yang mempunyai MSPO di Perak di mana ia merupakan jumlah yang sedikit dan kerana itu kita membuat siri jelajah dan sesi dialog di negeri ini.
“Untuk menambahkan jumlah peserta yang memiliki MSPO di negeri ini saya akan mengadakan perjumpaan bersama Menteri Besar Perak bagi membincangkan pelbagai isu termasuk soal status tanah pekebun kecil,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada program Jom MSPO Pekebun Kecil Sawit Orang Asli Perak di Hotel Grand Kampar di sini hari ini.
Menurut Teresa, Malaysia menjanjikan kepada dunia pencapaian 100 peratus melibatkan MSPO di kalangan lebih 500,000 pekebun kecil di seluruh negara dan kementeriannya akan mencuba untuk mencapai sasaran berkenaan.
“Kalau kita tidak dapat capai 100 peratus pun kita akan cuba mencapai peratusan yang sangat tinggi melibatkan MSPO ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!