Zakir Naik mohon semua melihat rakaman penuh syarahannya
SHAH ALAM - Pendakwah dari India, Dr Zakir Naik memohon semua rakyat Malaysia supaya melihat dan meneliti sepenuhnya rakaman syarahannya di Kota Bharu berbanding mempercayai sebahagian rakaman yang didedahkan.
Beliau berkata, ini bagi memastikan tidak berlaku kekeliruan termasuk salah tafsir terhadap ucapannya ketika program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan 9 Ogos lalu.
"Permintaan saya kepada semua rakyat Malaysia dan media, tidak kira Islam atau bukan Islam supaya membuat pengesahan terhadap maklumat yang diterima sebelum mempercayai dan menyebarkannya.
"Jangan mempercayai secara buta tuli terhadap setiap maklumat yang anda perolehi, termasuk ucapan saya tanpa mengesahkan kebenarannya," katanya melalui kenyataan hari ini.
Kenyataan media keduanya ini dikeluarkan selepas beliau mendapat kritikan hebat daripada pemimpin negara berhubung syarahannya yang menyinggung perasaan masyarakat India dan Cina.
Malah Zakir juga mendapat desakan daripada sebahagian menteri Kabinet supaya beliau diusir keluar dari Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: Zakir Naik disiasat polis
Dalam kenyataannya itu, Zakir juga memohon supaya semua rakyat Malaysia termasuk pengkritiknya supaya melihat rakaman penuh di platform rasminya di YouTube dan media sosial.
"Kebanyakan syarahan saya ada di YouTube dan laman sosial. Saya sangat menghargai andai anda mendengar sepenuhnya ucapan atau program saya berbanding mendengar sebahagian kecil rakaman sebelum membuat sebarang keputusan.
"Hampir semua orang bukan Islam yang menyaksikan kuliah lengkap saya, sama ada di India mahupun Malaysia atau di mana sahaja di dunia ini, menghormati dan menghargai kerja saya. Alhamdulillah.
"Jika orang bukan Islam di Malaysia mendengar beberapa kuliah lengkap saya, jika tidak semua, saya juga pasti mereka juga akan menghargai kerja dan menyokong misi saya," katanya.
Zakir melalui kenyataan media pertamanya menjelaskan, ceramahnya disalah tafsir oleh pengkritiknya yang bermotifkan politik dan untuk menganiayanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!