[VIDEO] Dua lagi sungai di Pasir Gudang tercemar
PASIR GUDANG - Penduduk di Kampung Perigi Acheh melahirkan kebimbangan dengan keadaan dua sungai mereka yang semakin tenat.
Kedua-dua sungai, Sungai Kopok dan Sungai Daing yang menjadi sumber rezeki kini sudah bertukar warna dan berbau busuk hingga menyebabkan tiada lagi hidupan di situ.
Penduduk mendakwa aktiviti pembuangan sisa secara haram di hulu Sungai Daing menjadi punca utama selain aliran sisa kimia dari Sungai Kim Kim yang masuk ketika air pasang dan surut.
Ketuanya, Othman Adon berkata setiap kali air surut, penduduk terpaksa menghidu bau yang menyengat hingga memeningkan kepala.
"Sekarang ini lumpur dah jadi hitam dan berbau, apabila air surut memang kuat baunya, menyengat sampaikan boleh pening kepala. Mana yang tak tahan memang sampai muntah terutama yang duduk di pesisir sungai.
"Ada banyak kali juga kita jumpa ikan mati, udang dengan ketam pun dah tak ada langsung di sini. Sejak 10 tahun lalu makin jelas perubahan sungai ini dan makin teruk sejak awal tahun ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di jeti Kg Perigi Acheh, hari ini.
Katanya, Sungai Kopok sebelumnya merupakan kawasan yang bersih dan menjadi tumpuan pelbagai aktiviti air termasuk mandi-manda, memancing dan sukan air.
Beliau yang bimbang dengan kesihatan 532 penduduknya mendesak kerajaan negeri segera menangani isu tersebut bagi mengelakkan keadaan lebih teruk pada masa depan.
"Pihak berkaitan tolonglah bersihkan lumpur-lumpur mendapan yang kotor ini sebab saya bimbang kesihatan penduduk di sini. Dulu kita boleh buat macam-macam aktiviti di sungai tapi sekarang, tengok sendirilah.
"Sebaiknya pihak berwajib pantaulah dan pastikan setiap kilang ada sistem pelepasan supaya hanya air bersih yang dilepaskan ke sungai. Pihak berkuasa memang dah beberapa kali masuk ambil sampel air tapi kami tak tahu apa keputusannya," katanya.
Nelayan cari makan di kawasan lain
Ismadi Abd Rahim, 45, yang menjadi nelayan sejak puluhan tahun lalu akui kesal dengan keadaan terkini sungai yang menjadi punca rezeki bersama rakan nelayan lain sudah tercemar teruk.
"Kami terpaksa keluar dari kawasan kami sebab kawasan kami dah tercemar sangat sampai tak ada hidupan yang hidup.
"Dulu kami tak perlu keluar pun dari kawasan sungai ini, tapi sekarang air pun dah hitam, ikan pun tak ada. Nak cari untuk makan sendiri pun tak ada," katanya.
Menurutnya sejak dua tahun kebelakangan ini, dia terpaksa melakukan pekerjaan lain demi menyara keluarga dan tiga anak yang masih bersekolah.
"Saya terpaksa buat kerja lain lepas balik menjala, saya jadi tukang rumah sebab pendapatan sebagai nelayan memang berkurang.
"Kalau tak percaya, cubalah tinggal di sini sehari dua, rasai sendiri selesa atau tidak. Kami penduduk dah tak tahan dengan bau busuk," katanya.
Seorang lagi penduduk yang tinggal di tepi sungai, Ahmad Fauzi Abd Jalil, 44, berkata sekiranya kerajaan tidak segera menangani isu pencemaran tersebut, dia bimbang penduduk tidak lagi selamat tinggal di kampung itu.
Sinar Harian bersama beberapa rakan media menyusuri Sungai Kopok hingga ke Sungai Daing dengan menaiki bot bagi melihat sendiri pencemaran tersebut.
Hasil tinjauan mendapati, disepanjang kira-kira satu kilometer Sungai Daing bau busuk menusuk hidung, airnya berwarna kelabu kehitaman, berminyak dan berbuih malah terdapat banyak benda asing berwarna hitam pekat seolah-olah kerak atau tar yang terapung.
Manakala di hulu sungai terdapat air berbuih yang mengalir masuk tanpa henti melalui batu-batu dipercayai daripada kawasan kilang.
Difahamkan kawasan hujung Sungai Daing yang bertembung dengan Sungai Kopok sering berbau wangi seperti sabun.
Ketika berpatah balik ke Sungai Kopok, pihak media mengesan terdapat selonggok besar sampah pada sebelah kiri di sebalik rimbunan pokok namun difahamkan longgokan itu merupakan mozek yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab.
Terdapat juga dua konkrit paip besar di kawasan longgokan tersebut.
Sementara, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar ketika dihubungi belum menerima sebarang laporan berhubung keadaan dua sungai tersebut.
Sungai Kopok tercemar, Sungai Daing berbuih Penduduk di Kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang bimbang dengan keadaan dua sungai yang menjadi sumber rezeki mereka sebelum ini terus dicemari. Ikuti laporan lanjut Sinar Harian yang meninjau keadaan dua sungai tersebut, pagi tadi.
Posted by Sinar Harian Edisi Johor on Thursday, August 15, 2019
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!