Bertembung komunis bersenjata
BANGI - Pengalaman bertembung dengan komunis yang lengkap bersenjata api tidak pernah dilupakan oleh bekas tentera, Abas Yusof.
Menurutnya, insiden itu berlaku sekitar tahun 1987 ketika operasi rondaan di kawasan Durian Burung dalam daerah Padang Terap.
“Kejadian itu berlaku pada tengah hari pada hari Jumaat. Waktu itu kami seramai 10 orang sedang membuat rondaan bersama seorang pegawai,” katanya.
Sedang meronda katanya, salah seorang daripada mereka merasakan sesuatu buruk akan berlaku.
“Dalam jam 12 tengah hari itu, tiba-tiba hujan turun. Seorang sarjan meminta supaya kami berwaspada.
“Katanya ada sesuatu akan berlaku. Ketika meneruskan rondaan, kami terjumpa organ dalaman biawak yang telah dikeluarkan,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.
Abas, 65, berkata, selepas perjalanan diteruskan mereka tiba-tiba bertembung dengan enam komunis bersenjata api.
Menurutnya, dalam keadaan genting itu, salah seorang daripada komunis terbabit cuba melepaskan tembakan dengan menyasarkan pegawai askar.
“Namun cubaannya untuk menembak gagal kerana pelurunya tidak keluar,” katanya.
Abas yang menetap di Kampung Surau di sini berkata, anggota komunis terbabit berjaya dibunuh oleh askar di posisi perlindungan barisan depan yang segera melepaskan tembakan.
Katanya, lima lagi komunis sempat melarikan diri dan melepasi sempadan negara Thailand.
Sempena kemerdekaan negara yang ke-62 tahun ini, Abas yang mula menyertai Askar Melayu pada 1981 berharap agar generasi hari ini dan akan datang menghargai nikmat keamanan yang dikecapi hasil daripada perjuangan wira-wira negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!