Berhenti jadi langau sebar berita palsu
TEPAT jam 2 petang semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop mengesahkan remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, tidak dilarikan ataupun diculik sebagaimana spekulasi sebelum ini.
Bercakap pada sidang akhbar di Seremban, Mohamad turut mendedahkan hasil bedah siasat menunjukkan mangsa tidak dirogol sebaliknya kematian mangsa disebabkan oleh kebocoran pada usus kerana tidak mendapat makanan dalam masa panjang.
Mengimbas kisah remaja itu, percutian keluarga di Malaysia sejak 10 hari lalu sepatutnya menjadi kenangan indah sebaliknya bertukar tragedi selepas mangsa hilang dan ditemui mati tidak jauh dari resort penginapan mereka.
Anak istimewa berumur 15 tahun itu dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 4 Ogos, sehari selepas keluarga itu mendaftar masuk untuk percutian dua minggu di resort The Dusun, Pantai di Negeri Sembilan.
Sekalung ucapan tahniah dan syabas buat semua pengamal media yang tidak pernah putus asa melaporkan berita dari lokasi untuk disalurkan kepada pembaca biarpun terpaksa berhujan dan berpanas sepanjang hari. Satu perkara yang Merak Jalanan perhatikan, apabila berlaku sesuatu tragedi akan wujud langau yang cuba mencetuskan ketidakselesaan dan membuat kenyataan semberono tanpa fakta seolah-olah mereka ialah wartawan yang melaporkan kejadian di lokasi.
Memang benar bagai dikata, jika tidak kena batang hidung sendiri mereka tidak akan sedar. Satu sahaja nasihat Merak Jalanan, ubahlah sikap dan berhenti sebar berita palsu.
Sempena bulan Kemerdekaan ini, jadilah warganegara Malaysia yang boleh dibanggakan.
Bak kata bekas Presiden Amerika Syarikat, John F Kennedy: “Jangan bertanya apa yang negara boleh lakukan untuk anda tetapi tanyakan apa yang boleh anda lakukan untuk negara sendiri.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!