Mohammad Rifdean ke final Muay Thai Asia Timur 2019

Rifdean Masdor - Foto arkib Bernama
Rifdean Masdor - Foto arkib Bernama
A
A
A

PENINJU Muay Thai Perak, Mohammad Rifdean Masdor beraksi cemerlang apabila melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Muay Thai Asia Timur 2019 di Hong Kong, malam ini.

Mohammad Rifdean,17, menewaskan lawannya dari Mongolia, Gantushig Tenuun menerusi knockout (KO) pada pusingan kedua dalam kategori 48 kilogram (kg) pada saingan separuh akhir.

Pemenang pingat perak Kejohanan Muay Thai Dunia 2019 itu bakal berdepan peninju Hong Kong pada Ahad ini.

Ketua Jurulatih Muay Thai Perak, Bernard Radin berkata Mohammad Rifdean telah mempamerkan aksi bertenaga ketika menentang lawannya yang fizikal lebih besar dan tinggi.

“Pada mulanya, persembahan Mohammad Rifdean agak gugup berikutan lawannya yang tinggi tetapi apabila masuk pusingan kedua, dia dapat mengawal perlawanan itu sehingga menyebabkan lawannya KO,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bernard berkata beliau tidak meletakkan sasaran tinggi pada kejohanan di Hong Kong berikutan Mohammad Rifdean baru pulang dari Kejohanan Muay Thai Dunia 2019 di Bangkok.

Selain itu, beliau berkata Mohammad Rifdean turut sibuk dengan persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Saya menyasar beliau akan berada pada tahap puncak ketika beraksi pada Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Turki bulan depan.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap Mohammad Rifdean akan meneruskan momentum dan mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan akhir Ahad ini,” katanya.

Mohammad Rifdean terpaksa melompat ke kategori 48kg berikutan kategori 45kg tidak dipertandingkan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!