Isu Zakir Naik: Tindakan tegas pihak cuba gugat keharmonian kaum
KOTA BHARU - Polis hari ini memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian kaum di negara ini bersabit isu pendakwah terkenal Dr Zakir Naik.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu tersebut.
"Berhentikanlah menyebar perkara yang boleh memecah belah keharmonian kaum dan kita akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang berhasrat mahu mengganggu ketenteraman awam ini.
"Polis akan memantau keadaan ini. Kita sudah memberi amaran berhubung perkara ini," katanya kepada pemberita selepas melawat keadaan Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini hari ini.
Mohd Zamri kini menerima rawatan selepas diserang menggunakan parang oleh seorang lelaki pesakit mental menyebabkan luka di bahagian belakang kepala dan putus ibu jari kanan di rumahnya di Kampung Padang Luas, Besut tengah hari semalam.
Turut hadir Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail dan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah.
Mengulas isu Dr Zakir itu, Mazlan berkata, siasatan sedang dijalankan oleh polis dan beliau tidak berhasrat untuk mengulas lanjut perkara itu.
Polis kini telah membuka kertas siasatan terhadap pendakwah itu di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keamanan.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed kertas siasatan terhadap Zakir dibuka susulan laporan polis daripada pelbagai pihak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!