1,419 atlet PBT berkampung di Pekan
SERAMAI 1,419 atlet dan pegawai akan berkampung di Pekan selama empat hari bermula semalam bagi menjayakan temasya Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah berkata, penyertaan kali ini terdiri daripada 12 kontinjen dari seluruh daerah negeri ini melibatkan 15 acara sukan dipertandingkan.
"Kejohanan yang diadakan secara dwi tahunan ini sudah menjangkau kali kelapan sejak 16 tahun lalu dan diadakan secara bergilir-gilir mengikut daerah.
"Pada kali ini 15 sukan yang dipertandingkan termasuk bola sepak, futsal, bola jaring, bola tampar, badminton, golf, sepak takraw, petang que, tarik tali, menembak, boling, pingpong, daet, carom dan memanah," titah baginda sebelum merasmikan acara tersebut.
Baginda berkata, menerusi penglibatan sukan bukan sahaja dapat memantapkan kesihatan fizikal bahkan mewujudkan sikap setiakawan dan silaturahim terutama dalam sukan berpasukan.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sukan berjaya membentuk semangat setiakawan dan kerjasama dalam kalangan PBT dan mampu meningkatkan kerjasama PBT di negeri ini.
"Demi kebaikan bersama serta menjamin kemakmuran negeri ini, saya sukacita menyarankan semua pegawai agar sedar dan fahami matlamat penganjuran kejohanan ini. Semangat kesukanan tinggi dituntut khususnya dalam sukan seperti bola sepak dan bola jaring serta hormati keputusan pengadil.
"Selain dapat meningkatkan kesihatan tubuh badan, sukan seumpama ini juga menjadi satu landasan yang penting bagi warga PBT dalam pelbagai peringkat dan pangkat untuk saling bermesra antara satu sama lain," katanya.
Hadir sama Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Rahim Muda; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak; Exco Kebudayaan Perpaduan Kebajikan Masyarakat Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Exco Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman dan ahli ahli majlis mesyuarat kerajaan Pahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!