440 paket makanan haiwan dari Korea dirampas
BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 440 paket makanan haiwan tanpa dokumen sah dari Korea Selatan ke negara ini, petang semalam.
Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, barangan tersebut dirampas di Pejabat Pos Butterworth di sini pada jam 2.30 petang semalam.
Menurutnya, rampasan itu dilakukan selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap barang pos seperti bungkusan milik warga tempatan di pejabat pos tersebut.
"Hasil pemeriksaan, kita berjaya menemui 440 paket produk makanan haiwan mentah seberat 35.20 kilogram (kg) bernilai RM1,680. Produk itu didapati tidak mempunyai sebarang dokumen seperti import permit (IP).
"Hasil pemeriksaan pada bungkusan itu mendapati, antara jenis makanan haiwan yang cuba dibawa masuk adalah snek seperti Sweet Potato Chewing, Deer Jerky; Horse Jerky; Duck Wing; Dried Pollac, Pig Ear Slice; White Fish dan Dental Gum dan beberapa jenis lagi," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Zarina berkata, Maqis Pulau Pinang telah mengeluarkan kompaun kepada individu tersebut setelah mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya.
"Individu itu juga diberi peringatan supaya mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan. Perlu diingatkan, kita sentiasa bersedia untuk melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian dan ikan yang masuk atau keluar dari negara ini mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.
"Ia bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat untuk dimakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!