Pemuda maut, rakan parah motosikal terlanggar kerbau

Keadaan motosikal mangsa yang rosak teruk selepas melanggar seekor kerbau. (Gambar kecil, Zulkhairilzam)
Keadaan motosikal mangsa yang rosak teruk selepas melanggar seekor kerbau. (Gambar kecil, Zulkhairilzam)
A
A
A

KEMAMAN - Seorang lelaki maut manakala rakannya parah apabila motosikal dinaiki mereka terlanggar kerbau yang melintas jalan di Kilometer 123, Jalan Jerangau-Jabor di Padang Kubu, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa, Zulkhairilzam Zamzuri, 20, parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Rakannya, Akif Irfan Mohd Ridzwan, 16, yang juga pelajar turut parah di bahagian kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, ketika kejadian Zulkhairilzam yang juga pekerja kedai perkakasan bersama rakannya dalam perjalanan dari Jabor menghala ke Jerangau menaiki motosikal Yamaha 135 LC.

"Dari siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki kedua-dua mangsa gagal mengelak seekor kerbau yang secara tiba-tiba melintas jalan setibanya mereka di lokasi kejadian.

"Berikutan jarak yang sangat dekat, motosikal itu merempuh haiwan ternakan berkenaan," katanya.

Mayat Zulkhairilzam yang beralamat di Kampung Masjid, Padang Kubu kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Akif Irfan yang beralamat di Kampung Tengah, Padang Kubu juga dikejarkan ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Haki, ketika kemalangan keadaan jalan gelap kerana tiada lampu jalan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!