Tragedi berkayak: Punca kematian peserta disahkan akibat lemas

Kenderaan yang membawa mayat mendiang Geok Tin meninggalkan Unit Forensik Hospital Kemaman kira-kira jam 10.15 pagi tadi.
Kenderaan yang membawa mayat mendiang Geok Tin meninggalkan Unit Forensik Hospital Kemaman kira-kira jam 10.15 pagi tadi.
A
A
A

KEMAMAN - Peserta kayak wanita warga Singapura yang ditemui terapung di perairan Kemaman disahkan meninggal dunia akibat lemas hasil bedah siasat yang dijalankan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, bedah siasat ke atas mangsa, mendiang Puah Geok Tin, 57, selesai dijalankan di Hospital Kemaman kira-kira jam 3.30 petang semalam.

"Mayat mangsa dituntut ahli keluarga pada jam 9 pagi tadi untuk dibawa pulang ke Singapura.

"Sebelum itu hasil pengecaman yang dilakukan ahli keluarga mengesahkan mayat yang dijumpai adalah peserta kayak yang didapati hilang ketika berkayak di Mersing pada 8 Ogos lalu," katanya.

Mayat Geok Tin dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Kemaman kira-kira jam 10.15 pagi tadi dengan menaiki kenderaan Hyundai Starek.

Turut kelihatan anak bongsu mangsa, Louis Pang, 24, dan saudara mara keluarga berkenaan.

Bedah siasat ke atas mayat Geok Tin dilakukan kira-kira jam 12 tengah hari semalam untuk mengesahkan punca kematian.

Mayat wanita itu yang masih berpakaian dan lengkap memakai jaket keselamatan ditemui terapung kira-kira enam batu nautika dari muka Kuala Kemaman sekitar jam 12.50 tengah hari kelmarin.

Artikel Berkaitan:

Dalam insiden 8 Ogos lalu, Geok Tin dan seorang lagi mangsa lelaki, Tan Eng Soon dilaporkan hilang kira-kira jam 5.40 petang selepas kayak dinaiki mereka terpisah dengan 13 buah kayak rakan mereka ketika berada antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tragedi berkayak: Mayat wanita warga Singapura ditemukan

Keluarga wanita hilang ketika berkayak buat pengecaman

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!