Rumah dipecah masuk, penyelia rugi RM6,000
SERDANG - Seorang penyelia jualan terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian berjumlah RM6,000 selepas kediamannya di sebuah pangsapuri berhampiran Taman Bukit Serdang dipecah masuk pada 9 Ogos lalu.
Difahamkan, antara barangan dicuri dalam kejadian itu melibatkan enam bentuk cincin emas, tiga telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Wong, 49, berkata, kejadian itu amat mengejutkan memandangkan dia telah mengunci kediamannya itu dengan rapi sebelum meninggalkan rumah untuk ke tempat kerja.
"Apabila saya pulang, saya lihat bilik tidur saya telah digeledah dan berada dalam keadaan bersepah.
"Selepas menjalankan pemeriksaan, saya dapati cincin, telefon bimbit dan wang tunai yang disimpan telah hilang," katanya kepada Sinar Harian.
Wong yang mendiami rumah itu bersama seorang anaknya berkata, dia merasa pelik dengan kejadian itu memandangkan pengunci mangga yang diletakkan di pintu masuk rumahnya itu tidak dikopak dan masih berada dalam keadaan baik.
Dia tidak menolak kemungkinan pencuri terbabit mempunyai peralatan mencuri khas seperti kunci utama untuk memecah masuk ke kediamannya itu.
"Susulan itu, saya telah membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kes ini," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, beliau telah berhubung dengan pihak polis bagi meminta kerjasama mereka untuk mengambil tindakan lanjut dan meningkatkan pengawasan di kawasan tersebut.
Selain itu, beliau turut meminta pihak pengurusan pangsapuri terbabit agar dapat meningkatkan keberkesanan pemantauan dengan memastikan kawalan keselamatan yang lebih ketat.
"Penduduk di sini membayar caj penyelenggaraan dan mereka seharusnya berhak untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik. Oleh itu, saya gesa pihak pengurusan agar dapat meningkatkan keberkesanan kawalan di sini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!