Jokowi buat permohonan rasmi pindah ibu negara ke Kalimantan

No Image Caption
A
A
A

JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi hari ini secara rasminya mencadangkan kepada Parlimen rancangan untuk memindahkan ibu kota negara itu ke Kalimantan di pulau Borneo.

Jokowi menyatakan cadangan itu ketika berucap di Parlimen, sehari sebelum negara itu menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-74.

“Saya dengan ini memohon persetujuan anda, untuk memindahkan ibu kota negara kita ke Kalimantan,” kata Widodo yang bakal mengangkat sumpah untuk penggal kedua Oktober ini selepas memenangi pilihan raya April lalu.

Jokowi bagaimanapun tidak menyatakan lokasi sebenar ibu negara baharu itu.

April lalu, kerajaan mengumumkan rancangan pemindahan ibu negara dari Jakarta, bandar raya sesak yang mempunyai populasi lebih 10 juta penduduk.

Salah satu faktor keputusan itu dibuat adalah kerana kawasan ibu negara tersebut yang berdataran rendah terdedah kepada banjir dan berisiko tenggelam.

Difahamkan, rancangan tersebut pernah disuarakan buat pertama kali pada 1940-an.

Sebelum ini, pakar telah memberi amaran langkah itu akan menelan kos berbilion Dolar, namun Menteri Perancangan, Bambang Brodjonegoro memaklumkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian 100 trilion Rupiah (RM29.5 bilion) akibat kesesakan trafik di Jakarta.

Artikel Berkaitan:

Dalam kempen pilihan raya baru-baru ini, Jokowi berjanji untuk melebarkan pembangunan ekonomi secara lebih meluas di luar Jawa.

Kerajaan bagaimanapun belum mengumumkan butiran logistik utama langkah tersebut. - Kompas/Reuters

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!