Motosikal bertembung, penuntut Kolej Komuniti Kuala Terengganu maut
KUALA TERENGGANU - Seorang penuntut Kolej Komuniti Kuala Terengganu maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah motosikal lain dalam kemalangan di Jalan Kampung Gelugor Kedai di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.55 pagi, Muhammad Suhairy Jusof, 19, dari Bukit Payong Marang yang menunggang motosikal jenis Honda C70 meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hassan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa dari arah Kampung Merbau Patah menghala ke Kampung Gelugor Kedai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah motosikal lain yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa bertembung dengan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang datang dari Kampung Gelugor Kedai menghala ke simpang empat Pengadang Baru di sini.
"Akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah pada anggota badan manakala penunggang Honda EX5 dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, selepas itu mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HSNZ untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian sementara penunggang motosikal yang patah pergelangan tangan kiri masih dirawat di hospital sama.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!