Hujan lebat dalam tempoh singkat punca banjir kilat
SUBANG JAYA - Punca kejadian banjir kilat di SS dan sekitar USJ di sini petang semalam disebabkan hujan lebat dalam tempoh yang singkat.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, ia turut berpunca daripada kegagalan sistem perparitan mengalirkan jumlah air yang banyak.
Mengulas lanjut beliau berkata, hampir 10 kenderaan terkandas dalam kejadian bencana itu, namun hanya seorang pemilik membuat laporan polis.
“Kawasan Subang Jaya mengalami hujan lebat bermula jam 4.15 petang sehingga 6.30 petang semalam. Anggaran taburan hujan di Subang Jaya hampir 100 milimeter (mm); Persimpangan Persiaran Perpaduan dan Kewajipan (45mm); Persimpangan Persiaran Tujuan dan Kewajipan (45mm) manakala Jalan TP 2, Taman Perindustrian UEP Subang Jaya (161.5mm).
“Taburan hujan di Grand Ville, USJ 1 pula (45mm); Jalan USJ 2/1 (45mm) dan Jalan SS14/1 dan SS 14/2 (47mm).
“MPSJ juga terima aduan kes pokok tumbang dan kerosakan bumbung di tiga buah rumah di Lorong Intan 4, Taman Batu Tiga yang menyebabkan penghuni mengalami kerugian dianggarkan hampir RM5,000,” katanya selepas meninjau lokasi banjir, pagi tadi.
Mohd Zulkurnain berkata, aduan kerosakan bumbung telah diajukan kepada Pengurusan Bencana Daerah untuk tindakan selanjutnya dan kesemua mangsa ketika ini menumpang di rumah saudara-mara.
Katanya, bagi mengatasi masalah banjir dan insiden pokok tumbang, pihaknya sudah mengambil tindakan segera menghantar bantuan awal untuk memantau dan mengambil tindakan sesuai.
Pemeriksaan longkang turut dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan tiada sebarang halangan boleh menyebabkan sistem saliran tersumbat.
“Menjelang musim tengkujuh ini, pihak MPSJ melakukan persiapan awal dengan membuat pemantauan dan penyelenggaraan saliran dengan lebih kerap di kawasan tumpuan banjir kilat bagi memastikan bencana tersebut tidak berulang,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan ratusan kenderaan terperangkap akibat banjir kilat di sekitar USJ dan Shah Alam, petang semalam.
Hujan lebat hampir sejam di USJ mengakibatkan beberapa laluan utama dinaiki air lebih satu meter.
Turut ditenggelami air, Persiaran Kewajipan berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya yang menyebabkan beberapa kenderaan dihanyutkan arus akibat banjir kilat.
ARTIKEL BERKAITAN: Banjir kilat: Kenderaan terperangkap di USJ, Shah Alam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!