Satu rekaan, satu material

Qarya by D' Jalina tawar busana wanita kombinasi elemen tradisional, kontemporari

A
A
A

DATIN Siti Rosma Jalina Abdul Rahman, 53, atau mesra disapa Jalina seorang wanita yang bervisi.

Kepada Femina, beliau berkata, dirinya mempunyai perjuangan tersendiri dalam memperkenalkan busana bercirikan elemen tradisional dan kontemporari khas untuk wanita Malaysia dan antarabangsa.

Pengalaman sedekad menetap di pelbagai negara kerana menemani suami, Mejar Jeneral Datuk Mohd Anuar Rijaludin yang merupakan pegawai kanan dalam Angkatan Tentera Malaysia memberi tambah nilai kepada wanita bekerjaya itu.

Ujarnya, semua itu umpama azimat.

"Hal-hal itu bukan dipandang remeh oleh saya, alhamdulillah, saya berpeluang menimba pelbagai pengalaman dan ilmu perihal dan selok-belok fesyen," katanya dalam satu pertemuan khas di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Wanita elegan itu meneruskan plot ceritanya. Katanya, beliau memerhatikan bagaimana sesebuah negara itu berjaya memikat hati para wanita mencintai produk keluaran tempatan waima lambakan fesyen 'disogok' dari setiap penjuru dunia.

"Pada pandangan peribadi saya, Indonesia antara negara yang proaktif dalam menawarkan rekaan fesyen berasaskan material tempatan seperti batik.

"Jika di sini (Malaysia), persalinan batik lazimnya digayakan pada acara formal ataupun keramaian, tetapi rakyat republik itu pula sebaliknya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menariknya, rekaan batik di sana juga lebih kontemporari. Justeru, mencontohi arus perkembangan fesyen di Indonesia sebagai satu inspirasi, pegawai pendidik yang bakal bersara (secara pilihan pada bulan depan) merintis koleksi fesyen klasik dan kontemporari yang berpayung di bawah jenama Qarya by D’ Jalina.

Jalina memberitahu Femina, selain daripada material crepe dan kapas, beliau juga memilih batik dari negeri Kelantan dan Terengganu serta Indonesia untuk labelnya.

"Saya perlu peka dengan cita rasa wanita dan aktif mencari material bercirikan identiti tempatan sebelum diterjemahkan ke dalam rekaan busana untuk dipromosikan di dalam dan di luar negara," katanya.

Kepada wartawan Femina, IZYAN LIYANA MOHD DARIF, Jalina berkongsi keunikan dan keistimewaan Qarya by D' Jalina.

1 Bagaimana timbulnya idea untuk menghasilkan koleksi busana di bawah label Qarya by D’ Jalina?

JALINA: Secara jujurnya, saya tidak memiliki jurusan fesyen secara formal, tetapi ia bukan penghalang untuk saya bergiat aktif dalam industri fesyen. Idea bisnes ini (fesyen) timbul dek minat mendalam terhadap ketrampilan yang menarik, 'benda-benda' cantik dan elegan.

Seperkara, saya gemar melukis. Lagipun pengalaman menetap dari satu negara ke satu negara selama sedekad seperti Jakarta, Indonesia; Beijing, China dan Australia serta Kota Kinabalu, Sabah menyebabkan saya mengisi masa lapang dengan melakar.

Antaranya rekaan busana, perabot dan hiasan dalaman.

2 Sehubungan itu, apakah ‘bingkisan’ dari luar negara yang dibawa pulang untuk dihadiahkan kepada wanita Malaysia khususnya?

Sepanjang berada di negara orang, saya tidak melepaskan peluang mempelajari, mendalami dan mengenali perkembangan industri fesyen di sana.

Pada hemat saya, setiap destinasi itu memiliki gelombang dan budaya pemakaian tersendiri.

Misalnya di Jakarta. Para penduduk di sana begitu bangga menyarungkan pakaian harian berasaskan batik. Biarpun rekaannya ringkas, tetapi inisiatif berkenaan mencerminkan mereka tidak melupakan identiti tradisional pada era moden ini.

Sekembalinya saya ke tanah air, saya dapati agak sukar mencari busana yang sesuai dengan konsep dan cita rasa saya sendiri yang menggabungkan kombinasi klasik dan kontemporari, namun pada masa sama, selesa dan ringkas.

Justeru, bertitik tolak daripada itu, saya mendapat ilham mereka seleksi persalinan berkonsepkan minimalis, namun versatil yang boleh digayakan pelbagai peringkat umur.

3 Sebahagian besar pereka dan label tempatan lebih cenderung menghasilkan pakaian sedia pakai (ready-to-wear) untuk wanita muda dan bertubuh langsing. Namun, Datin pula dilihat memilih laluan berbeza apabila menawarkan busana untuk pelbagai peringkat umur dan saiz. Mengapa?

Saya mengambil pendekatan bahawa fesyen itu universal dan ia bukan hak mutlak baik wanita bertubuh langsing mahupun golongan muda.

Justeru, bagi memberi nilai tambah kepada semua golongan pada saat berfesyen, maka Qarya by D’ Jalina mengambil inisiatif menawarkan pakaian ready-to-wear dalam satu rekaan saiz sahaja, free size.

Setiap busana akan terletak kemas dan selesa pada tubuh pemakai berikutan rekaannya ringkas, classy dan elegan. Tambahan pula material yang digunakan bersesuaian dengan kebanyakan bentuk fizikal.

Biarpun setiap material hanya terhad pada satu rekaan dan saiz, namun koleksi Qarya by D’ Jalina ideal membaluti badan pelbagai peringkat umur.

Tip penggayaannya mudah sahaja. Bagi remaja ataupun wanita muda serlahkan gaya stailo dengan memadankan aksesori dan sepatu konsep funky bersama gaun paras lutut, kaftan labuh ataupun kaftan beserta pario.

Persalinan Qarya by D' Jalina ini juga sudah cukup anggun digayakan dengan tatarias yang simple sepadan dengan usia dan majlis yang ingin dihadiri.

4 Boleh kongsikan signatur rekaan busana Qarya by D' Jalina?

Signatur Qarya by D' Jalina terletak pada satu rekaan untuk satu material. Lazimnya, saya membeli kain dahulu sebelum memikirkan desain. Saya elak membeli fabrik dalam kuantiti yang banyak kerana enggan membiarkan para pelanggan Qarya by D’ Jalina memakai busana serupa.

Langkah tersebut bertujuan mengekalkan keunikan dan nilai eksklusif buat pelanggan kami. Selain batik Kelantan, Terengganu dan Indonesia, saya juga bermain dengan material crepe dan sifon polos serta corak minimalis.

Seleksi kain jenis itu bukan sahaja sesuai dengan cuaca panas dan hujan sepanjang tahun di Malaysia, bahkan sifatnya yang ringan menyuntik siluet elegan. Dari segi nuansa pula, koleksi busana Qarya by D’ Jalina hadir dalam rona terang, gelap dan lembut yang mana setiap warna itu membantu menyerlahkan penampilan wanita dalam apa jua acara dan lokasi.

Harga yang ditetapkan adalah mampu milik dan berpatutan bermula pada RM399 ke atas.

5 Jika diperhatikan, Jakarta antara negara yang paling lama Datin menetap iaitu selama lima tahun berbanding Beijing dan Australia. Apakah momen terindah yang dikutip di sana khususnya berkait rapat dengan industri fesyen?

Pengalaman menetap di Jakarta banyak mengajar saya tentang selok-belok industri fesyen apatah lagi berpeluang mengikuti secara dekat dengan para pereka fesyen popular seperti Sebatian Gunawan, Biyan Wanaatmadja dan Alleira Batik.

Gaya busana mereka sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada jenama Qarya by D' Jalina. Terlalu banyak pendedahan dan pengalaman ketika di Jakarta terutama bergaul dengan wanita-wanita Indonesia yang sememangnya mementingkan ketrampilan dan tatarias mereka sedari muda hinggalah pada usia lewat 80-an.

Pendekatan mereka memartabatkan batik telah membuatkan kuasa membeli material berkenaan sangat tinggi. Lebih menarik, setiap daerah memiliki satu signatur batik sendiri seperti batik Mega Mendung dan Awan Larat.

Sehubungan itu, saya terdorong untuk cuba menerapkan elemen tradisional yang digembleng bersama dengan rekaan kontemporari bersesuaian dengan trend semasa dalam rekaan-rekaan saya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!