Veteran tentera tolak permohonan maaf Yew Yin

Mansor (lima kiri), Najmi (enam, kiri) bersama veteran ATM membuat laporan polis di Balai Polis pekan Baling, semalam.
Mansor (lima kiri), Najmi (enam, kiri) bersama veteran ATM membuat laporan polis di Balai Polis pekan Baling, semalam.
A
A
A

BALING - Veteran tentera amat terguris dengan kenyataan dikeluarkan ahli perniagaan, Koo Yew Yin yang disifatkan menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malah menolak permohonan maaf dibuat individu tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, kenyataan Yew Yin itu disifatkan menghina wira-wira negara yang selama ini setia berbakti kepada negara dan mengekalkan keamanan hidup rakyat.

"Walaupun telah memohon maaf, tetapi permohonan maaf itu tidak dapat diterima sama sekali," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mansor berkata, penghinaan itu menunjukkan ada pihak tertentu sengaja mahu memporak-peranda ketenteraman awam di negara ini dan mencari kesempatan supaya berlaku ketegangan kaum, agama dan bangsa.

Semalam, Mansor bersama ADUN Kupang, Briged Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad bersama hampir 20 golongan veteran ATM membuat laporan di Balai Polis pekan Baling.

Mereka menuntut kerajaan mengambil tindakan tegas kepada pihak tidak bertanggungjawab agar menjadi teladan kepada orang lain sekali gus berhati-hati ketika membuat kenyataan.

Mansor berkata, keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya tiada tindakan diambil terhadap ahli perniagaan tersebut.

Menurutnya, sebelum timbul isu penghinaan terhadap tentera, terdapat usaha mempertikai hak-hak keistimewaan orang Melayu serta Raja-Raja Melayu.

Artikel Berkaitan:

"Jika kita tidak ambil tindakan, mungkin selepas ini akan keluar kenyataan yang bertambah liar kepada pihak-pihak lain pula.

"Kita harap mana-mana pihak selepas ini tidak lagi berani mempertikaikan hak-hak keistimewaan kaum, agama dan bangsa di Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Mansor mengingatkan Yew Yin supaya tidak melupakan jasa ATM yang memayungi keselamatan rakyat negara ini tanpa mengira kaum.

"Suatu ketika dahulu pihak berkenaan memohon perlindungan daripada bekas-bekas tentera. Mereka hari ini hidup dengan aman damai, kaya raya dalam bumi Malaysia," katanya.

Yew Yin sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang disifatkan menghina anggota tentera di negara ini dengan dakwaan hanya makan dan tidur, tidak pernah menembak malah beliau turut mencadangkan supaya anggota tentera bekerja sebagai buruh di ladang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!