Lebih 10 anggota polis daerah Kuching tersenarai sasaran Op Blue Devil

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Lebih 10 anggota polis berpangkat rendah di daerah Kuching menjadi sasaran polis dalam operasi khas ‘Op Blue Devil’ bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, mereka adalah antara 80 pegawai dan anggota yang menjadi sasaran pada ketika ini.

“Kita (polis) sedang memerhati gerak-geri mereka yang tersenarai dalam sasaran ini dan akan bertindak secara mengejut dalam masa terdekat.

“Ini adalah untuk membersihkan nama baik pasukan agar imej PDRM tidak tercemar disebabkan perangai segelintir anggota yang tidak berdisiplin,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Kuching Marathon di sini hari ini.

Mengenai Kuching Marathon yang akan berlangsung Ahad ini, Awang Din berkata 12 laluan utama akan ditutup mulai 11.30 malam sehingga 8 pagi keesokan harinya bagi memberi ruang kepada penganjuran acara itu.

“Jalan yang akan ditutup adalah di jalan persimpangan Jalan Main Bazaar, Jalan Gambier, Jalan Lebuh Wayang, Jalan Borneo, Jalan Abell, Jalan Padungan, Jalan Satok, Jalan Haji Taha, Jalan Khoo Hun Yeang, Jalan Masjid dan jalan di kawasan lampu isyarat St.Mary.

“Selain itu, Jalan Tun Abang Hj Openg, Jalan Pearl, Jalan Barrack dan Jalan Wawasan akan ditutup awal bagi memberikan laluan kepada kerja-kerja pemasangan gerbang permulaan dan penamat larian,” katanya.

Beliau berkata semasa acara itu berlangsung, seramai 40 anggota polis akan ditempatkan di Check Point utama bagi menjaga keselamatan peserta larian.

Artikel Berkaitan:

Seramai 9,600 peserta dari dalam dan luar negara akan mengambil bahagian dalam Kuching Marathon 2019 dalam bahagian acara Full Marathon (42km), Half Marathon (21km) serta Fun Run 10km dan 5km.

Peserta dan orang awam yang ingin menyaksikan Kuching Marathon dinasihatkan supaya meletakkan kenderaan di kawasan parkir khas di Resevoir Park, Taman Budaya, Green Hill, Medan Kereta Top Spot, Dewan Suarah, Bangunan Saujana, parkir kereta Poliklinik Jalan Masjid dan medan letak kereta Padang Jublee MBKS. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!