Johor pertimbang skim perumahan baharu B40
JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor kini dalam pertimbangan untuk memperkenalkan satu skim baharu dikenali sebagai Skim Perumahan Prihatin Johor bagi membantu golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) memiliki kediaman sendiri.
Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau telah mencadangkan skim itu kepada kerajaan negeri dan berharap inisiatif yang bakal memberikan manfaat kepada golongan tersebut diterima.
Menurutnya, cadangan untuk mewujudkan skim berkenaan mengambil kira golongan B40 berikutan ada dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah tidak dapat membuat pinjaman perumahan seumur hidup.
"Daripada statistik yang kita buat, hampir 40 peratus golongan ini gagal mendapatkan pinjaman perumahan daripada pihak bank komersial.
"Jadi, kita akan wujudkan satu skim, dan idea (pelaksanaan) adalah berbentuk bayaran kepada agensi yang akan kita lantik menjadi agensi pelaksana kepada skim ini," katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, sekiranya skim itu diperkenalkan, kemungkinan bayaran balik bagi penerima manfaat adalah dalam tempoh 20 tahun dan pada kadar kemampuan sekitar kira-kira RM200 sebulan.
"Insya-ALLAH bila mana kesemuanya berada dalam kelulusan, saya akan buat pengumuman yang rasmi. Ini adalah untuk memberikan gambaran bahawa kerajaan negeri kita sangat peka kepada keperluan rakyat tentang isu perumahan.
"Harap kita boleh penuhi setiap segmen di dalam pasaran untuk memastikan sasaran besar 'Satu Rumah Satu Keluarga Satu Kediaman' dapat dijayakan," katanya.
Beliau berkata, skim tersebut akan menggunakan dana diperolehi hasil daripada penalti dikenakan kerana pelepasan lot Bumiputera dan kegagalan pemaju menyediakan bilangan rumah mampu biaya seperti ditetapkan dasar.
"Jadi dana ini, (iaitu) penalti yang kita kenakan ini, kita akan Insya-ALLAH gunakan kembali untuk menyediakan skim ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!