PRK Kimanis selepas urusan mahkamah selesai

Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis hanya akan diadakan sekiranya tiada rayuan atau proses rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pihak terlibat mempunyai hak untuk merayu dalam tempoh 14 hari berdasarkan keputusan yang dibuat Mahkamah Pilihan Raya Sabah hari ini.

Menurutnya, berdasarkan keputusan tersebut, kerusi Parlimen Kimanis diisytiharkan kosong dan PRK perlulah diadakan.

“Di bawah peruntukan undang-undang, SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan.

“Buat masa ini, SPR perlu menunggu perakuan keputusan Mahkamah Pilihan Raya atau sehingga tempoh 14 hari untuk rayuan tamat bagi tindakan selanjutnya.

“SPR sentiasa bersedia untuk menjalankan PRK sekiranya ia perlu diadakan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kemenangan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu terbatal.

Keputusan itu dibuat selepas pemeriksaan semula ke atas peti-peti undi mendapati terdapat unsur-unsur manipulasi termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

Hakim Lee Heng Cheong berkata, penambahan kertas undi tidak berkaitan adalah satu kesalahan serius yang telah mempengaruhi keputusan pilihan raya itu, justeru kemenangan tersebut terbatal.

Anifah yang merupakan bekas Menteri Luar Negeri memenangi kerusi Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi.

Beliau memperoleh 11,942 berbanding 11,786 undi yang diraih oleh calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang.

Pada 18 Jun lalu, Karim menamakan Anifah sebagai responden pertama, manakala Pegawai Pilihan Raya Parlimen Kimanis dan SPR sebagai responden kedua dan ketiga.

ARTIKEL BERKAITAN: Kemenangan Anifah Aman di Parlimen Kimanis terbatal

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!