Israel benarkan ahli Kongres AS lawat keluarga di Tebing Barat
TEL AVIV - Israel hari ini mengubah keputusan untuk membenarkan ahli Kongres wanita Islam Amerika Syarikat (AS), Rashida Tlaib melawat keluarganya di Tebing Barat atas alasan kemanusiaan sehari selepas ia melarang wanita itu dan rakan seperjuangannya, Ilhan Omar melakukan lawatan rasmi ke wilayah diduduki.
Keputusan itu dibuat selepas Rashida menghantar surat kepada Kementerian Dalam Negeri untuk memohon kebenaran melawat keluarga termasuk neneknya yang berusia 90-an di Tebing Barat.
"Saya akan menghormati apa-apa sekatan yang dikenakan dan tidak akan mempromosikan kempen boikot Israel ketika kunjungan tersebut," jelas kandungan surat tersebut yang turut dipaparkan beberapa media di Israel.
Semalam, Israel melarang Rashida dan Ilhan memasuki wilayah diduduki menjelang lawatan yang dirancang untuk sokongan terhadap Kempen Boikot, Lupus dan Sekat (BDS) yang dilancarkan Palestin sejak 2005.
Keputusan itu dibuat tidak lama selepas Presiden Donald Trump menerusi Twitter dengan lantang menyatakan ‘ia menunjukkan kelemahan yang besar’ jika wakil Parti Demokrat terbabit diberi kebenaran berbuat demikian.
“Mereka tidak suka Israel dan orang Yahudi dan tiada apa yang boleh dilakukan untuk mengubah fikiran mereka. Apa yang mereka katakan selama ini amat memalukan. Mereka telah menjadi wajah Parti Demokrat,” katanya di laman blog mikro tersebut.
Kedua-dua ahli Kongres yang baru dilantik itu merupakan pengkritik lantang terhadap layanan buruk Israel terhadap penduduk Palestin selain sering bercanggah pendapat dengan Trump berhubung pelbagai isu.
Mereka merancang untuk melawat ke Baitulmaqdis dan Tebing Barat yang diduduki Israel selepas Perang Enam Hari 1967 anjuran sebuah pertubuhan Palestin.
Ahli Kongres bagaimanapun memberikan amaran terhadap langkah luar biasa Israel yang bakal mengancam hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
“Saya tidak pernah terfikir, presiden Parti Demokrat atau Republikan boleh lakukan perkara seperti ini. Keputusan ini bukan untuk melindungi Netanyahu dan bukan juga permainan politik.
“Trump sebenarnya telah mencemarkan imej presiden,” kata Mark Pocan.
Sebelum ini, Israel berusaha memerangi kempen BDS yang turut menyasarkan institusi pendidikan dan kebudayaan mereka di seluruh dunia. Tel Aviv turut meluluskan undang-undang yang melarang kemasukan aktivis yang didakwa terlibat dengan kempen boikot tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!