'Askarlah yang pertahan negara hingga titisan darah terakhir'
KUALA LUMPUR - "Yakinlah bahawa semua askar dan veteran akan berada di barisan paling hadapan mempertahankan keselamatan negara ini, sehingga ke titisan darah terakhir mereka."
Demikian luahan hati Leftenan Kolonel Rejimen Artileri, Heera Singh yang membidas kenyataan ahli perniagaan Koon Yew Yin, sebelum ini yang merendahkan peranan tentera dengan mengatakan tentera hanya 'makan dan minum' ketika negara tidak berperang.
Selain menyifatkan kenyataan itu sebagai satu yang sangat menjijikkan, beliau juga sangat terkejut dengan tohmahan berkenaan.
"Sangat mudah bagi anda untuk mengatakan bahawa tentera 'tidak melakukan apa-apa selain makan dan tidur' ketika masa aman.
"Biarlah saya mengingatkan anda, bahawa tentera kita memberi sumbangan penting kepada keselamatan dan kesejahteraan negara seperti berjuang menentang pengganas komunis dari tahun 1948 hingga 1989, di hutan Sarawak dan sempadan Malaysia-Thailand," katanya menerusi satu surat terbuka ditujukan kepada Yew Yin yang dipetik di Facebook Navy The Best hari ini.
Menurutnya, misalnya ketika tragedi 13 Mei 1969 pihak tentera yang banyak memberi sumbangan bagi memelihara keselamatan dalaman negara.
"Serangan oleh kumpulan militan al-Ma'unah dan keadaan konflik di Lahad Datu. Angkatan tentera juga mempunyai peranan besar misalnya dalam operasi pengamanan antarabangsa.
"Mereka berada di dalam hutan yang paling dalam, di lautan yang paling luas, di puncak gunung dan di pangkalan tentera terpencil, bekerja di bawah keadaan yang sangat sukar supaya rakyat negara ini dapat hidup dengan aman damai," katanya.
Katanya, ada ribuan lelaki dan wanita (askar) yang kini bertugas mempertahankan negara dan merekalah yang membuat pengorbanan setiap hari hingga mengabaikan keselamatan dan keselesaan mereka sendiri demi keamanan negara.
Sebelum ini, selepas mendapat kecaman ramai Yew Yin akhirnya menarik balik kenyataannya terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menimbulkan rasa kurang senang kebanyakan pihak.
Dalam satu kenyataan di laman blognya Yew Yin berkata, beliau juga meminta maaf kepada anggota tentera yang sudah bersara dan sedang berkhidmat.
Beliau sendiri sewaktu kecil pernah menyaksikan pengorbanan anggota tentera mempertahankan negara ketika Perang Dunia Kedua.
Terdahulu, Yew Yin dalam laman blog kendaliannya meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat pekerja yang tidak diperlukan.
Beliau menjadikan anggota tentera sebagai contoh dan menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja.
ARTIKEL BERKAITAN: Tentera adalah pilihan terakhir negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!