Kerajaan kaji buka pusat industri penerbangan baharu

Tun Dr Mahathir (kiri) mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Riad Asmat (dua kiri) mengenai tayar pesawat semasa mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat AirAsia RedQ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) hari ini. - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir (kiri) mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Riad Asmat (dua kiri) mengenai tayar pesawat semasa mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat AirAsia RedQ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan untuk membuka pusat baharu bagi industri penerbangan Malaysia berikutan tanah seluas 25,000 ekar yang diperuntukkan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilihat tidak mencukupi untuk menampung pertumbuhan industri tersebut, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, walaupun tiada sebarang jangka masa ditetapkan bagi merealisasikan hasrat itu, beliau melihatnya sebagai satu kemudahan yang perlu diwujudkan dengan segera.

Ini berikutan sebelum ini, tumpuan kerajaan hanya kepada aspek pertumbuhan KLIA dan bukan membabitkan industri penerbangan tambang rendah, kata beliau.

“Pada masa itu, kita (hanya) memikirkan soal pengembangan KLIA dan sama sekali tidak menyedari mengenai industri penerbangan tambang rendah.

"Jangan kita (pada masa itu) adalah apabila mencapai 25 juta penumpang, kita perlu membina pusat baharu. Namun, sebelum dapat mencapainya, kita sebaliknya mempunyai syarikat penerbangan tambang rendah yang menyumbang 40 juta penumpang dan kita juga telah ada sebuah terminal baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat RedQ yang juga ibu pejabat syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia di sini hari ini.

Mengulas selanjutnya, Perdana Menteri juga menyifatkan perniagaan penerbangan sebagai kian pesat berkembang.

"Kita perlu mengikuti trend itu, kebanyakan (perkembangan itu) membabitkan penerbangan tambang rendah dan akan wujud permintaan terhadap pesawat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Malah, beliau berkata, beberapa negara juga telah menyatakan minat untuk memasang pesawat dan helikopter mereka di Malaysia.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!