Durian tekka setanding musang king
PONTIAN- Sebut sahaja tentang durian, pasti ramai terbayangkan keenakan musang king, D24, bahkan durian kampung sekalipun.
Namun, jika disebut tentang durian tekka pasti ramai yang kurang mengetahui kewujudannya.
Peraih durian, Aziz Mohd Nohong, 53 berkata durian tekka sering menjadi buruan peminat tegar durian kerana keenakan rasanya yang lemak, manis, pahit dan berkrim.
Katanya, durian tekka sukar diperoleh kerana ia tidak banyak ditanam berbanding durian kampung dan musang king.
“Di kawasan kampung di sini, jarang orang cari durian musang king, tetapi mereka tahu ada beberapa jenis durian yang enak antaranya tekka dan chiat chi.
"Musim kali ini, chiat chi kurang menjadi. Yang paling elok durian tekka. Harganya antara RM20 hingga RM30 sekilogram," katanya.
Harga jatuh pada musim panas
Aziz yang merupakan peraih durian di Batu 6 Jalan Penerok-Kukup berkata dia tidak hanya menjual durian tekka, tetapi turut menawarkan pelbagai jenis durian segar yang dihantar sendiri pekebun ke gerainya.
"Durian kampung dan durian tembaga paling banyak dihantar pekebun, seawal jam 7.30 pagi lagi. Ada 30 hingga 40 pekebun antara durian mereka ke sini setiap hari.
"Durian yang dikumpulkan akan dihantar ke Johor Bahru. Pasaran di Johor Bahru lebih baik kerana permintaan tinggi di sana," katanya.
Ditanya tentang harga durian, katanya harga durian pada musim kali ini menurun disebabkan faktor ekonomi pembeli.
Selain itu, kualiti durian juga merosot disebabkan cuaca terlalu panas menyebabkan buah mudah pecah.
"Musim durian kali ini bermula lepas Aidilfitri dan dijangka berakhir pada September depan.
"Musim kali ini durian kampung dijual RM7 hingga RM8 sekilogram. Tahun lepas harga durian lebih tinggi iaitu RM15 hingga RM18 sekilogram," katanya.
Bagi pekebun durian dari Kampung Parit Kongsi, Noraini Jenal, 29 keadaan cuaca panas menyebabkan durian tidak berbunga dan buah kerap pecah.
Katanya, dari 200 pokok durian hanya 12 pokok sahaja yang berbuah pada musim kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!