Buah binjai bakal pupus?
MARANG - Buah binjai atau nama saintifiknya mangifera caesia antara buah eksotik yang semakin kurang dikenali golongan muda dan diancam kepupusan.
Buah binjai berbeza dari segi saiz, warna kulit dan memiliki rasa manis, masam serta lemak manis manakala Terengganu adalah antara negeri yang sinonim dengan buah ini.
Buah ini yang biasanya ditanam di hutan atau dusun buah-buahan di beberapa daerah di Terengganu sentiasa mendapat permintaan apabila tiba musim.
Seorang peniaga buah-buahan, Siti Khadijah Che Man, 43, dari Padang Limau Nipis di sini berkata, buah ini mudah diperoleh di Hulu Terengganu dan terdapat dua rasa iaitu masam serta manis.
"Buah dengan kulit berwarna coklat manakala isi berwarna putih itu dijual pada harga RM10 selonggok iaitu sebanyak dua hingga tiga biji bersaiz agak besar diletakkan setiap longgok.
“Buah binjai terutama yang masam enak dimakan bersama sambal belacan atau dimasak asam pedas, selain dibuat jeruk sebagai pembuka selera,” katanya ketika ditemui di gerainya di hadapan Masjid Pengadang Baru hari ini.
Bagaimanapun, menurutnya, ramai pengguna khususnya yang tinggal di kawasan bandar belum mengetahui khasiat dan keenakan masakan bercampur buah binjai itu.
“Kebanyakan pelanggan saya dalam kalangan warga emas atau pertengahan umur kerana mereka yang lebih menggemari buah ini,” katanya.
Siti Khadijah berkata, buah bermusim setahun sekali dan kadangkala dua tahun sekali itu semakin kurang dikenali terutama bagi generasi muda kerana mungkin terlalu masam atau sukar ditemui.
“Ada pelanggan saya yang tidak pernah memakannya atau melihat buah ini. Saya beri binjai yang manis untuk memperkenalkan buah ini dan baru mereka tahu buah ini sedap,” katanya.
Katanya, hasil jualan buah binjai tidaklah terlalu lumayan kerana perlu bersaing dengan raja buah selain manggis, duku dan rambutan yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!