Empat nelayan ditahan, hasil tangkapan dilelong
PARIT BUNTAR - Empat nelayan tempatan bersama hampir 100 kilogram hasil tangkapan dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam satu operasi di 6.4 batu nautika berhampiran perairan Kuala Kurau, semalam.
Dalam operasi sekitar jam 7.30 pagi itu, keempat-empat nelayan berusia antara 50-an hingga 60-an itu yang menggunakan dua bot pukat kenka didapati menangkap ikan di luar kawasan dibenarkan.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, siasatan lanjut mendapati pemilik bot tidak mengusahakan sendiri bot itu seperti yang dinyatakan dalam syarat buku lesen.
"Kesemua nelayan berkenaan bagaimanapun telah dilepaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan direkodkan.
"Sementara hasil tangkapan sebanyak 40 kilogram udang campur dan 50 kilogram ikan baja dilelong, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya.
Beliau meminta orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat bagi membolehkan aktiviti menyalahi undang-undang dapat dibanteras sepenuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!