Tiada isu beri kelonggaran pada Hafiz: KP MSN

Khairul Hafiz Jantan
Khairul Hafiz Jantan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun peluang pelari pecut negara Khairul Hafiz Jantan untuk layak ke temasya Sukan SEA 2019 secara merit sudah berakhir, namun beliau masih boleh disenaraikan dalam kategori B.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sama ada untuk menyenaraikan Khairul Hafiz bagi mempertahankan pingat emas dimenanginya pada edisi 2017 dalam kategori B atau memilih calon lain untuk bersaing dalam acara 100 meter.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, KOM sebelum ini menetapkan syarat kepada atlet olahraga perlu layak secara merit untuk disenaraikan dalam kategori A, iaitu ditanggung Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Kalau kata Khairul Hafiz tidak lepas dalam kategori A, bermakna persatuan kena berbincang dan memutuskan sama ada hendak hantar dia dalam kategori B atau tidak kerana dalam kategori B pun ada beberapa atlet juga turut layak. Seperti yang kita sedia maklum, untuk acara 100 meter hanya dua penyertaan sahaja dan 4x100 meter empat atau lima atlet boleh disenaraikan.

"Jadi tidak ada isu kelonggaran diberikan atau tidak, ia terserah kepada persatuan. Dalam kategori A, sudah ada seorang atlet (Johnathan Nyepa) sahaja yang dah lepas, kalau kategori B pula ada empat atau lima pelari pecut, persatuan kena buat keputusanlah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran penggunaan percuma trek Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini hari ini.

Beliau berkata KOM perlu mengemukakan semula kepada jawatankuasa pemilihan MOM mengenai keputusan dibuat berhubung penyenaraian atlet dalam kategori B dan atlet diputuskan itu mestilah mereka yang sudah ada dalam senarai panjang sebelum ini.

Pada Kejohanan Olahraga KOM 2019 di Stadium MSN semalam, raja pecut Asia Tenggara terpaksa berpuas hati dengan catatan masa 10.71 saat untuk menduduki tempat kedua acara 100 meter lelaki iaitu catatan yang masih jauh daripada rekod kebangsaan 10.18 saat miliknya.

Artikel Berkaitan:

Untuk melayakkan diri secara merit, Khairul Hafiz juga perlu mencatatkan masa lebih baik daripada 10.37 saat yang dilakukan oleh Johnathan iaitu catatan di ranking ketiga terbaik Asia Tenggara.

Acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga KOM menyaksikan Muhammad Haiqal Hanafi dari Johor muncul juara dengan catatan masa 10.59 saat diikuti Khairul Hafiz yang mewakili Melaka (10.71 saat) dan gangsa dimenangi pelari Terengganu, Muhammad Zulfiqar Ismail (10.81 saat).

Pelari berusia 21 tahun itu baru saja membuat penampilan pertama pada kejohanan kompetitif di Sukan Universiti Dunia di Napoli bulan lalu dengan catatan masa 10.70 saat dan berjaya membaiki catatan 10.50 saat pada Terbuka Kuala Lumpur minggu lalu yang juga kejohanan keduanya selepas tempoh kecederaan.

Semalam, Ketua Jurulatih Olahraga, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata, peluang untuk Khairul Hafiz ke temasya di Filipina menerusi Kategori A sudah berakhir namun namanya masih boleh disenaraikan di bawah Kategori B dan akan diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan KOM yang berlangsung Isnin ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!