Pusat hiburan digempur, GRO dicekup
KUALA LUMPUR - Sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang di sini yang menjadikan wanita warga asing sebagai pelayan pelanggan (GRO) sebagai peneman berhibur digempur polis kelmarin.
Serbuan dilakukan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dalam Op Noda kira-kira jam 11.15 malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, seramai 12 wanita warga asing disyaki GRO berusia 22 hingga 39 tahun ditahan.
"Semakan mendapati mereka ini terdiri daripada lapan Vietnam, dua Thailand dan dua lagi adalah Indonesia. Selain itu, polis turut menahan dua lelaki tempatan merupakan pengurus serta juru wang premis terbabit.
"Pelbagai barang dirampas antaranya peralatan audio, resit serta wang tunai dalam operasi yang dijalankan hasil maklumat dan risikan itu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Rusdi berkata, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan terhadap 18 pengunjung pusat hiburan bagi proses dokumentasi.
"Pemeriksaan awal mendapati premis tidak berlesen itu beroperasi dengan menyediakan bilik karaoke dan GRO terbabit sebagai peneman dengan bayaran tip berdasarkan khidmat diberikan.
"Siasatan masih dijalankan dan kesemua tangkapan direman sehingga 29 Ogos ini untuk disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39b Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Menurutnya, sebarang maklumat berkaitan jenayah juga boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!