Indonesia sambut Hari Kemerdekaan ke-74
JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) memakai pakaian tradisional dari Klungkung, Bali ketika menghadiri upacara proklamasi Hari Kemerdekaan ke-74 republik itu di Istana Merdeka, Jakarta awal hari ini.
Jokowi ditemani anak lelaki sulung beliau, Gibran Rakabuming dan cucunya, Jan Ethes Srinarendra yang turut berpakaian tradisional sempat menyapa wartawan dan bergambar bersama tetamu kenamaan.
Antara tetamu kehomat yang hadir termasuk Ketua Panglima Tentera Indonesia, Marshal Hadi Tjahjanto, Ketua Polis Negara, Jeneral Tito Karnavian dan Menteri Pertahanan, Ryamizard Ryacudu.
Ulang tahun Kemerdekaan Indonesia tahun ini mengangkat tema 'SDM Unggul Indonesia Maju', ia menekan pentingnya Sumber Daya Manusia (SDM) dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Seperti yang dinyatakan, dalam penggal kedua, lima tahun akan datang ini kita akan memfokuskan kepada pembangunan manusia, pembangunan SDM (sumber daya manusia) bermula daripada bayi dalam kandungan hingga kelahirannya yang harus memiliki nutrisi dan gizi yang bagus.
"Pembentukan karakter sejak awal juga penting, penerapan budi pekerti juga amat penting kerana ia berkait dengan tanggungjawab dalam budaya kerja keras yang mandiri. Pada tahap menengah kita harus mempersiapkan kemahiran masa kini dan masa depan.
"Di peringkat pendidikan menengah, perlu dipastikan sama ada anak-anak menjurus kepada bidang kemahiran atau akademik, setelah memasuki peringkat pengajian tinggi mereka harus mampu bersaing di peringkat global," kata Jokowi dalam ucapannya di Istana Merdeka.
Selain itu, Jokowi juga turut memperingatkan soal keutuhan negara, menurut beliau, keutuhan bangsa tidak boleh dikorbankan hanya kerana berbeza pilihan politik.
"Keutuhan Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) adalah segala-galanya. Jangan dikorbankan keutuhan NKRI kerana pilihan wakil, pilihan gabenor, pilihan presiden, keutuhan NKRI harus ditempatkan di tempat yang paling penting," kata Jokowi.- Kompas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!