'Mariam' mati akibat sisa plastik

Anak dugong bernama 'Mariam' terpaksa didukung untuk diberikan susu sebelum dibawa berenang untuk melatih sistem penghadamannya.
Anak dugong bernama 'Mariam' terpaksa didukung untuk diberikan susu sebelum dibawa berenang untuk melatih sistem penghadamannya.
A
A
A

BANGKOK - Seekor anak dugong yang diberi nama 'Mariam' dan menjadi kesayangan rakyat Thailand, mati akibat jangkitan disebabkan oleh cebisan plastik yang tersumbat dalam perutnya, kata pegawai hari ini.

'Mariam' yang ditemui terdampar di perairan cetek di barat daya Thailand beberapa bulan lalu, mula menjadi tumpuan selepas gambarnya bermesra dengan kumpulan penyelamat dimuat naik ke laman media sosial.

'Mariam' mati lewat malam tadi selepas usaha untuk menyelamatkannya gagal, kata Ketua Taman Marin wilayah Trang, Chaiyapruk Werawong kepada AFP.

“Ia mati akibat jangkitan dalam darah dan nanah di perut,” katanya yang turut menemui cebisan plastik di saluran ususnya.

Kematian 'Mariam' turut diumumkan di laman Facebook Jabatan Sumber Marin dan Perairan Thailand (DMCR) serta dikongsi lebih 11,000 netizen.

Perairan Selatan Thailand adalah kediaman kepada 250 ekor mamalia terbabit yang diklasifikasikan sebagai terancam.

Selain 'Mariam', seekor lagi anak dugong yang dinamakan Jamil oleh Puteri Thailand, Puteri Sirivannavari sedang menjalani rawatan di Pusat Biologi Marin Phuket.

Jamil ditemui tanpa sang ibu dengan kesan calar pada bahagian belakang. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!