Ramasamy sedia berdepan Zakir di mahkamah
GEORGETOWN - Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy bersedia untuk berdepan dengan Dr Zakir Naik di mahkamah selepas pendakwah dari India itu menamakan lima individu termasuk dirinya atas tuduhan memfitnah.
Ramasamy berkata, beliau amat mengalu-alukan laporan polis yang dibuat Zakir terhadap dirinya dan empat individu lain.
Menurutnya, pertelingkahan terhadap Zakir bukan bersifat peribadi, sebaliknya untuk kepentingan rakyat Malaysia yang mahukan keamanan dan ketenangan.
"Saya bersedia untuk menghadapi beliau di mahkamah dan saya mengalu-alukan laporan polis ke atas saya dan empat yang lain. Saya juga tidak sabar menanti notis saman kerana memfitnah darinya.
"Saya amat bersedia untuk berdepan dengannya sebagai individu yang menjadi buruan, terlibat dengan pengubahan wang haram dan disyaki menyokong kumpulan pengganas di mahkamah.
"Pertelingkahan saya dan beliau adalah untuk rakyat yang mahu hidup dengan aman di negara yang bebas dari kebencian antara satu sama lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Zakir Naik lapor polis terhadap lima individu termasuk Kulasegaran
Semalam, Zakir menamakan lima individu atas tuduhan memfitnah beliau menerusi laporan polis yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Mereka ialah Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Dalam, Satees Muniandy dan bekas duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis J Ignatius.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!