Pelancongan tak jejas dengan insiden Nora Anne: Aminuddin
PORT DICKSON - Industri pelancongan di Negeri Sembilan diyakini tidak terjejas dengan insiden kematian remaja Ireland Nora Anne Quoirin, 15, pada Selasa lepas, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
"Kita berharap mereka (pelancong) akan tetap datang ke negeri ini tanpa berasa risau mengenai soal keselamatan dan kita akan pastikan kejadian seumpama ini tidak akan berlaku lagi di negeri ini pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas selepas merasmikan Hari Ladang Peringkat Daerah Port Dickson di Dataran Kampung Pachitan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada industri pelancongan di negeri ini akan terjejas ekoran insiden berkenaan.
Nora Anne, bersama-sama ibu bapanya Sebastien Marie Philipe dan Meabh Jaseprine Quoirin tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort penginapannya di sebuah resort di Pantai, Seremban, pada 3 Ogos, sehari sebelum kehilangannya.
Mayat Nora Anne ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan tempat remaja anak istimewa itu dilaporkan hilang, pada hari ke-10 operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran dijalankan sejak 4 Ogos lepas.
Mayat Nora Anne ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan tempat remaja anak istimewa itu dilaporkan hilang, pada hari ke-10 operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran dijalankan sejak 4 Ogos lepas.
Laporan bedah siasat pada Khamis lepas mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.
Keluarga Nora Anne menuntut mayat remaja itu dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban pada 12.42 tengah malam tadi selepas proses dokumentasi selesai.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata sektor pelancongan merupakan penyumbang tertinggi kepada ekonomi Negeri Sembilan dan setakat ini telah merekodkan seramai 6.1 juta pelancong domestik.
Sementara itu, Menteri Besar berkata keputusan sama ada untuk meneruskan atau memberhentikan operasi eko-resort berkenaan akan ditentukan pada 31 Ogos ini.
"Sebenarnya kerajaan negeri sedang membuat proses pemutihan yang akan berakhir pada 31 Ogos ini. Selepas ini kita akan memutuskan sama ada kita akan teruskan operasi atau berhentikan operasi pusat peranginan itu.
"Kita akan lihat dari segi keselamatan, pembinaan, kelulusan dan secara keseluruhannya untuk kita pertimbangkan. Jika ia benar-benar selamat tiada masalah untuk kita teruskan operasi," katanya.
Aminuddin dalam pada itu juga turut menasihatkan pengunjung yang ingin bercuti di kawasan berkenaan supaya mengutamakan keselamatan.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!